Isnin, 15 Mei 2017

Ahok Diancam Bunuh, Dipindah Ke Penjara Lain


Ancaman bunuh antara sebab bekas gabenor Indonesia Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dipindahkan dari penjara di Cipinang ke Depok, Indonesia, kata menteri undang-undang dan hak asasi manusia republik itu.

Yasonna Laoly
Yasonna Laoly (foto kanan) bagaimanapun tidak membuat penjelasan lanjut berkaitan perkembangan melibatkan tokoh pentadbir yang disabitkan bersalah menghina Islam itu, lapor media tempatan.

“Dan sukar menjaga keselamatan kerana masih ada pihak yang amat tidak berpuas hati dan adanya ancaman-ancaman untuk dibunuh,” Yasonna dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, beliau juga berkata mendapat maklumat bahawa penjara di Cipinang sudah sangat padat.

Beliau juga berkata mengambil kira sokongan pendukung Ahok yang sering berhimpun di depan penjara di Cipinang bagi menyatakan kebersamaan mereka turut diambil kira.

“Jalan di depan penjara Cipinang adalah jalan utama yang dibimbangi sesak teruk dan mengganggu pengguna jalan, kerana orang ramai yang bersimpati pada Ahok akan memenuhi jalan raya,” kata Yasonna.

Ahok didakwa menghina agama apabila mengingatkan orang ramai tidak terpedaya dengan pihak yang memanipulasi ayat al-Quran bagi menolak pencalonnnya sebagai gabenor atas alasan beliau beragama Kristian.

Beliau kalah dalam pemilihan itu setelah beberapa siri demonstrasi besar kumpulan Islam membantah kenyataannya itu.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Ahok Diancam Bunuh, Dipindah Ke Penjara Lain" bertarikh 15 Mei 2017)