Selasa, 30 Mei 2017

Ester - Kisah Seorang Ratu Muda Yang Berani


Buku Ester adalah satu daripada hanya dua buku di seluruh Alkitab yang dinamakan atas nama wanita. Yang satu lagi adalah buku Rut. Buku Ester memaparkan kisah seorang wanita Yahudi yang muda dan jelita, yang membahayakan nyawanya sendiri untuk melayani Tuhan dan menyelamatkan umatnya. 

Ester hidup di Persia kuno pada lebih kurang 100 tahun selepas pembuangan ke Babel. Apabila ibu bapa Ester meninggal dunia, anak yatim piatu itu telah diambil sebagai anak dan dibesarkan oleh sepupunya yang lebih tua, Mordekhai. 

Pada suatu hari, Raja Empayar Persia, Ahasyweros, mengadakan satu pesta perjamuan yang mewah. Pada hari terakhir perayaan, baginda memanggil pemaisurinya, Wasti, kerana ingin mempamerkan kecantikannya kepada para tetamu. Tetapi permaisuri itu enggan untuk menghadap Ahasyweros. Penuh dengan kemarahan, baginda melarang Permaisuri Wasti daripada menghadap raja lagi untuk selamanya.

Untuk mencari permaisuri yang baru, Ahasyweros mengadakan peraduan ratu cantik di istana, dan Ester telah dipilih untuk menduduki takhta. Sepupunya Mordekhai telah menjadi seoang pegawai rendah dalam kerajaan Persia di Susan. 

Tidak lama selepas itu, Mordekhai telah mengetahui suatu komplot untuk membunuh raja. Dia memberitahu Ester mengenai konspirasi itu, dan Ester pun melaporkannya kepada Ahasyweros, dengan menyebut jasa Mordekhai. Komplot itu telah digagalkan dan jasa baik Mordekhai telah dicatit dalam kitab sejarah raja. 

Pada waktu yang sama itu. pegawai tertinggi raja adalah seorang yang jahat bernama Haman. Dia membenci orang-orang Yahudi dan dia terutamanya membenci Mordekhai yang enggan berlutut dan bersujud kepadanya. 

Oleh itu, Haman merencanakan suatu rancangan untuk membunuh semua orang Yahudi di Persia. Raja dilibatkan dalam rencana itu dan telah bersetuju untuk menghapuskan orang-orang Yahudi pada suatu hari yang khusus. Sementara itu Mordekhai telah mengetahui rencana itu dan menceritakannya kepada Ester, dan memberi cabaran kepadanya dengan kata-kata terkenal ini:

"Jangan kira, kerana engkau di dalam istana raja, hanya engkau yang akan terluput dari antara semua orang Yahudi. 

Sebab sekalipun engkau pada saat ini berdiam diri saja, bagi orang Yahudi akan timbul juga pertolongan dan kelepasan dari pihak lain, dan engkau dengan kaum keluargamu akan binasa. Siapa tahu, mungkin justru untuk saat yang seperti ini engkau beroleh kedudukan sebagai ratu." (Ester 4:13-14)

Ester menggesa semua orang Yahudi untuk berpuasa dan berdoa untuk penyelamatan. Kemudian dengan membahayakan nyawanya sendiri, Ester yang muda dan berani telah mendekati raja dengan rancangannya sendiri.  

Dia menjemput Ahasyweros dan Haman ke satu jamuan di mana dia akhirnya mendedahkan keturunan Yahudinya kepada raja, dan juga komplot jahat Haman untuk menghapuskannya dan bangsanya. Penuh kemarahan, raja menitahkan agar Haman disula pada tiang yang Haman telah dirikan untuk Mordekhai. 

Mordekhai telah dinaikkan pangkat ke jawatan tinggi Haman dan orang-orang Yahudi telah diberi perlindungan di seluruh kerajaan. Sambil umat merayakan penyelamatan Tuhan yang besar, perayaan Purim telah diadakan. 

"Pergilah, kumpulkanlah semua orang Yahudi yang terdapat di Susan dan berpuasalah untuk aku; janganlah makan dan janganlah minum tiga hari lamanya, baik waktu malam, baik waktu siang. Aku serta dayang-dayangkupun akan berpuasa demikian, dan kemudian aku akan masuk menghadap raja, sungguhpun berlawanan dengan undang-undang; kalau terpaksa aku mati, biarlah aku mati." (Ester 4:16)

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Thoughtco bertajuk, "Book of Esther" yang ditulis oleh Mary Fairchild bertarikh 6 Julai 2016)