Rabu, 24 Mei 2017

Isteri Pastor Rasa 'Orang Berkuasa' Tahu Tentang Kehilangan Suaminya


SUSANNA Liew, isteri kepada Pastor Raymond Koh berkata beliau tidak boleh menolak kemungkinan orang berkuasa ada kaitan atau tahu lebih daripada apa yang boleh diberitahu mengenai kehilangan Koh.

“Tidak, saya tidak boleh menolak kemungkinan itu. Berdasarkan kepada cara pihak berkuasa bertindak dalam tempoh 100 hari lalu, menunjukkan ada kemungkinan itu.

“Ramai yang berkata sedemikian secara terbuka dan tertutup,” katanya pada sidang akhbar di Phileo Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Hari ini ialah hari ke-100 sejak Koh diculik dari kenderaannya oleh sekumpulan lelaki yang tidak dapat dikenal pasti.

Liew berkata beliau bertanggungjawab kepada suaminya untuk terus mencari jawapan dan bertanya soalan sukar mengenai kehilangannya.

"Saya akan terus bertanya, walaupun mengambil risiko membangkitkan kemarahan orang lebih berkuasa yang boleh mengenakan kami kembali, daripada menjawab soalan saya. Mereka tidak memberikan saya pilihan," katanya.

Apabila ditanya siapakah mereka yang berkuasa itu, Liew berkata tidak tahu tetapi menambah penculikan itu mungkin dilakukan oleh pihak yang mempunyai sumber.

"Ini kerana rakaman CCTV menunjukkan penculikan kelihatan seperti dibiayai dengan baik. Saya bertanya kepada penyiasat persendirian dan dia berkata operasi seperti itu memerlukan kos sekitar RM600,000. Saya fikir, siapa yang akan mempunyai sumber seperti itu?" katanya.

Liew berkata, beliau juga bersedia bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup yang bersetuju bertemu beliau dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Rev Dr Hermen Shastri.

"Kami mula melihat tindak balas polis tidak meyakinkan. Kami ingin bertanya Kurup, ia sudah 100 hari dan apa yang polis lakukan setakat ini. Di manakah maklumat terkini?

"Kami juga mahu membangkitkan isu itu dengan Perdana Menteri Najib Razak," katanya.

Liew juga bimbang pihak berkuasa kini menyasarkan tiga aktivis masyarakat sivil yang turut mencari jawapan kepada kehilangan Koh.

"Mereka merisikokan diri bersuara untuk suami saya dan tiga aktivis lain yang hilang.

"Saya berharap semua rakyat Malaysia akan menyokong mereka," katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah jurucakap Engage Thomas Fann, Suaram Sevan Doraisamy dan beberapa pertubuhan media antarabangsa.

Polis memanggil Fann, Sevan dan Rama Ramanathan daripada Bersih untuk menjelaskan kenyataan mereka yang menghubungkan kehilangan Koh dan tiga yang lain sebagai "kehilangan dikuatkuasakan".

Menurut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, kehilangan dikuatkuasakan atau paksa berlaku apabila seseorang diculik secara rahsia atau dipenjarakan oleh organisasi negeri atau politik atau pihak ketiga daripada pihak berkuasa.

Ketiga-tiga mereka diberitahu melaporkan diri di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman esok.

Mereka adalah sebahagian Kumpulan Tindakan Rakyat mengenai Kehilangan Dikuatkuasakan (Caged) yang ditubuhkan pada awal bulan ini untuk mencari jawapan berhubung kehilangan empat aktivis. 

Mereka akan diwakili peguam merangkap penyokong kuat hak asasi manusia Ambiga Sreenevasan yang juga ahli Caged.

Caged menghantar laporan mengenai kehilangan Koh kepada Kumpulan Kerja mengenai Kehilangan Dikuatkuasakan atau Tidak Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WGEID).

Koh diculik daripada keretanya di Petaling Jaya pada 13 Februari oleh 15 lelaki dalam tiga SUV hitam. Penculikan yang berlaku pada siang hari, nampaknya diselaras dengan baik.

Joshua Hilmy, paderi berketurunan Melayu dan isterinya Ruth, dilaporkan hilang pada 30 November tahun lepas manakala Amir Che Mat hilang pada malam 24 November tahun lalu selepas beliau memaklumkan kepada anak perempuan sulungnya hendak keluar. – 23 Mei, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Isteri Pastor Rasa 'Orang Berkuasa' Tahu Tentang Kehilangan Suaminya" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 23 Mei 2017)