Rabu, 24 Mei 2017

Polis Tahan Suspek Kes Culik Pastor Koh


SEORANG suspek ditahan minggu lalu berhubung kes penculikan Pastor Raymond Koh, kata polis hari ini selepas 100 hari kehilangan misteri itu berlaku.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata suspek itu ditahan di sebuah negeri di utara Semenanjung.

Keluarga pendakwah Kristian itu semalam menyelar polis kerana menyiasat Koh, bukannya mengambil tindakan mencarinya sejak diculik pada 13 Februari.

Polis menyiasat Koh selepas laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa cuba mempengaruhi orang Islam.

"Kita perlu menyiasat. Bukan sahaja penculikan tetapi juga laporan beliau memurtadkan orang Islam," kata Khalid.

Koh diculik pada 13 Februari di Petaling Jaya oleh sekumpulan lelaki bertopeng.

Khalid berkata orang ramai tidak perlu membuat tuduhan liar yang pihak berkuasa dan kerajaan terlibat dalam kehilangan Koh tanpa sebarang bukti.

"Jangan buat tuduhan tanpa bukti. Jika anda ada, tampil ke hadapan dan serahkan kepada kami."

Beliau mengulas tiga aktivis – jurucakap Engage Thomas Fann, Sevan Doraisamy daripada Suaram dan Rama Ramanathan daripada Bersih – yang dipanggil untuk disoal siasat.

Khalid berkata mereka sedang disiasat kerana melakukan penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan perpecahan keamanan.

"Mereka menuduh pihak berkuasa dan kerajaan terlibat dalam kes itu. Itulah sebabnya kita memanggil mereka."

Ketiga-tiga mereka dijangka memberi keterangan kepada pihak polis hari ini.  – 24 Mei, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Polis Tahan Suspek Kes Culik Pastor Koh" yang ditulis oleh Muzliza Mustafa bertarikh 24 Mei 2017)