Ekoran kekecohan yang timbul daripada buku tulisan Hannah
Yeoh, seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) membuat keputusan
mendapatkan naskhah itu dan membaca karya berkenaan.
"Baru mengambilnya di Pos Laju Parit Buntar. Saya akan
habiskan membacanya malam ini.
"Harap-harap saya masih seorang Muslim esok, lebih
baik," kata Naib Presiden AMANAH, Mujahid Yusof Rawa melalui Twitter Isnin
lalu.
Bersama tweet itu Mujahid memuat naik sekeping gambarnya
bersama senaskhah buku berjudul Becoming Hannah - A Personal Journey yang
menjadi perhatian ramai baru-baru ini.
Buku tulisan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan
Anggota Dewan Undangan Subang Jaya itu diadukan kepada polis oleh seorang
pensyarah Universiti Utara Malaysia pada 17 Mei lalu.
Kata Dr Kamarul Zaman Yusoff, beliau terkejut apabila
mendapati buku berkenaan mengandungi terlalu banyak kisah dan petikan dari
Bible.
Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Pensyarah UUM |
Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN) UUM itu berpendapat, buku Yeoh merupakan cubaan untuk memujuk, mempengaruhi,
atau menghasut orang lain yang bukan beragama Kristian supaya menganut atau
cenderung kepada agama berkenaan.
Tindakan itu mendorong beberapa pihak mengecam Kamarul
Zaman.
Bagaimanapun, Mujahid berkata, selepas habis membaca buku
itu, beliau tetap seorang Muslim yang mentaati arahan agama.
Semua orang ada pengalaman
Bercakap kepada Malaysiakini, anggota parlimen Parit
Buntar itu berkata, Becoming Hannah - A Personal Journey itu habis
dibacanya malam tadi.
Mujahid berkata, beliau mendapati kandungan buku Yeoh itu
mempunyai persamaan dengan apa yang ditulisnya pada 2010, Aren't We All
Malaysian.
Katanya, beliau memilih subjek lain untuk menyatakan
pandangannya manakala Yeoh memilih tema ketuhanan.
"Sesiapa saja boleh menulis berdasarkan sebarang tema
yang mereka pilih. Yeoh membawa tema ketuhanan dan bercakap mengenai bagaimana
tuhan membantunya, serta hal-hal lain.
"Semua orang boleh melalui pengalaman sama berdasarkan
kepercayaan serta tafsiran mereka mengenai Tuhan," katanya.
Anak bekas pemimpin tertinggi PAS itu juga menambah, dalam
buku berkenaan Yeoh menyatakan penghargaannya kepada Tuhan.
Pada masa sama Mujahid berkata beliau tidak menemui sebarang
unsur yang boleh membawa seseorang Muslim murtad seperti didakwa Kamarul Zaman.
"Sebaliknya selepas membaca buku itu saya menjadi
Muslim yang lebih baik," katanya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Iman Tak Goyah Pun Baca Buku Hannah" bertarikh 24 Mei 2017)