Foto dari Poskod.my |
Oleh A. Samad Said:
TIGA tahun dulu (2014), lahir sebuah biografi mongel dari
seorang bakal siasahwan yang sekedar ingin merakamkan kisah perjalanan hidupnya
yang sangat sederhana. Hannah Yeoh—yang kini menjadi Speaker Dewan Undangan
Negeri Selangor—hanya ingin menjejaki kembali perkembangan dirinya sebagai
rakyat biasa. Dia ingin melihat dirinya semula melalui cermin biografi
mongelnya itu.
Kisah sederhana itu menyemarakkan semangatnya kerana banyak
kali dia terjatuh, tapi dia tidak pernah sedia kalah. Kisah itulah yang kini
tampaknya sedang menarik perhatian lawan siasahnya. Bukunya itu konon didakwa
berazam mengKristiankan orang Melayu.
Lebih khusus, kerana dirinya seorang kuasawan parti DAP,
maka didakwa DAP yang berazam mengKristiankan orang Melayu. Kisah Hannah
Yeoh—Becoming Hannah judulnya—sangat sederhana, tapi mengilhamkan. Hannah, dari
seorang kanak-kanak yang montel, Hannah menjadi Speaker wanita yang
pertama di tanah air.
Tiga tahun dulu buku ini seolah “terbiar” begitu saja,
walaupun kisahnya mengilham dan membimbing. Tapi, kini buku ini mula
hangat diperheboh kerana didakwa sebagai senjata tajam yang ingin mengKristiankan
orang Melayu.
Membaca bukunya dengan semangat terbuka dan tanpa prejudis, kita dapati Hannah sebenarnya lebih ingin menyusuri semula jejak kejayaan
kehidupannya. Dia lebih galak untuk menceritakan tentang gelora hidup dan
cecita sederhananya: Dia sangat ingin menjadi pendakwah agamanya.
Sesudah terasuh dan diranumi kehidupan di Tasmania, katanya,
dia terlalu ingin hidup larut di situ; malangnya, dia tidak dibenarkan.
Sangat nostalgik, Hannah menceritakan tentang Tasmania, bumi indah yang sempat
membentuk watak dan sikap hidup dewasa dan barunya.
Dia ingin berdiri tenang dan damai di atas jeti tempatnya
sempat meranumkan ilmu. Hannah ingin mengunjungi semula kafe tempatnya duduk santai
mengopi dan membiarkan khayalannya berpuput kembali ke tanah airnya, khususnya
seputar pekan Subang Jaya—tempat ayahnya berjerih kerja mengasuh dan
merangsangnya menjadi seorang wanita yang lebih serasi dan matang. Kenangan dan
pengalaman itu memang terakam jelas dan berkesan dalam “Becoming Hannah”.
Kini ternyata geram siasah lebih bergelora di tanah air
daripada gelombang otobiografi Hannah Yeoh itu sendiri. Maklum, karya yang
senyap pada tahun 2014, tetiba saja menjadi sangat nyaring dan diperhatikan—malah
sebenarnya diserang. Padahal buku mongel ini masih tetap saja bercerita tentang
sejarah kejayaan sederhana seorang anak kota dari Subang Jaya damai terasuh di
luar negara dan ingin memanfaatkan segala ilmu dan hemah yang pernah dikumpul
dan ditapisnya.
Kini ternyata soal itu seolah sengaja diketepikan oleh
pengkritik “Becoming Hannah”. Yang disorot hanya bahagian terkhusus kerana
kebetulan Hannah seorang mubalig Kristian yang sangat padu dan cekal dan kini
dalam dunia siasah tanah air. Apalagi memang terbukti bahawa kehidupan awal Hannah sendiri memang banyak diranumkan oleh keyakinannya akan agamanya
sendiri.
Pengkritiknya tidak lagi memandang contoh kejayaan Hannah
daripada seorang mubalig Kristian sejak remaja berjaya ke gelanggang siasah.
Yang dinampak—atau diserang—tampaknya sengaja tertumpu kepada pergerakan
agamanya untuk sesuai mendakwa DAP mempunyai hasrat, kononnya, berazam
menafirkan Melayu.
Pendeknya, yang dinampak atau sengaja ingin dinampakkan,
ialah hajat siasah Hannah Yeoh, lebih-lebih lagi DAP, untuk mengembangkan agama
Kristian. Pengkritiknya ingin mengisi hajat, bukan mewaraskan siasah.
Barangkali itulah sebabnya buku yang damai empat tahun dulu kini sengaja
disemarakkan kerana hajat kelompok tertentu. – May 27, 2017.
* A. Samad Said ialah Sasterawan Negara 1986
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Pandangan Buku: 'Becoming Hannah'" yang ditulis oleh A. Samad Said bertarikh 27 Mei 2017)