MIRI: Kira-kira 3,000 orang Kayan dari Baram dan juga bahagian-bahagian lain di negeri ini dan Kalimantan, Indonesia dijangka akan berkumpul di Long Atip pada 5-7 Jun untuk merayakan ulangtahun ke-70 masyarakat Kayan masuk Kristian (denominasi Borneo Evangelical Mission).
Pengerusi penganjur Nawan Luhat memberitahu bahawa 5 Jun 1947 adalah tarikh rasmi kemasukan mereka kepada BEM yang pada waktu itu dikenali sebagai Sidang Injil Borneo (SIB) seperti yang dicatit oleh misionari perintis mendiang C. Hudson Southwell dalam bukunya, "Uncharted Waters".
"Perayaan itu akan merangkumi pujian dan penyembahan, khutbah, persembahan kebudayaan dan permainan. Pertunjukan slaid dan sebuah buku cenderahati peringatan akan memberikan sekilas gambaran mengenai perjalanan iman yang bersejarah masyarakat Kayan yang telah dimulakan oleh nenek moyang kami yang mengambil langkah iman 70 tahun yang lalu."
Nawan memberitahu bahawa kemuncak perayaan itu adalah pelancaran plak ulangtahun pada 6 Jun.
Pasukan-pasukan kebudayaan dari Kalimantan dan Sungai Asap Belaga dijangka akan mempersembahkan tarian tradisi Kayan pada waktu malam.
"Satu tarian mega panjang yang dipanggil 'Hivan Upah' akan diadakan pada petang 7 Jun. Penduduk-penduduk tempatan dan para tetamu akan menyertai tarian panjang dengan pakaian tradisi lengkap. Pasukan-pasukan kebudayaan dari Malinau dan Miau Baru dari Kalimantan, Indonesia juga akan membuat persembahan," kata Nawan.
Long Atip dapat dimasuki dengan menggunakan kenderaan pacuan roda 4x4 melalui feri di Long Lama.
Mereka yang merancang untuk menghadiri perayaan ulangtahun itu digesa untuk memandu dengan selamat dan memperhatikan tanda-tanda jalanraya, terutamanya ketika memandu di jalan kayu balak.
(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Borneo Post bertajuk, "3,000 Expected For Event To Mark Kayan Conversion To Christianity" bertarikh 1 Jun 2017)