Khamis, 1 Jun 2017

Doa 3 Perkataan Ini Mengubah Seorang Peladang Yang Tidak Taat Menjadi Pastor Yang Dipimpin Roh Kudus


Berhadapan dengan krisis yang menggoncang jiwa, ayah saya mengangkat tangannya ke arah syurga dan mengucapkan satu doa berisi tiga perkataan. Doa itu baru saja keluar dari mulutnya apabila sesuatu yang menakjubkan terjadi. Abang saya yang berusia 7 tahun, telah disahkan akan mati oleh tiga orang doktor, telah disembuhkan secara mukjizat, dan destini keluarga kami telah berubah selamanya. 

Tragedi melanda

Ianya hari Jun yang panas pada musim panas, dan ayah saya sedang membajak baris-baris panjang di tanah ladang di Texas barat. Kepulan habuk mengikutinya apabila bajak mengorek tanah kering. Sekali-sekala rumput kering Tumbleweed terlintas di hadapannya, dibawa angin Texas barat. Ianya kelihatan seperti hari-hari lain - sehinggalah tragedi melanda.  

Dia menoleh ke arah rumah di mana kami tinggal dan memperhatikan sebuah traktor, yang telah diletakkan di halaman rumah oleh seorang rakan sekerja, sedang berputar-putar dalam bulatan tanpa tujuan. Menyedari sesuatu sudah tidak betul, dia menujukan traktornya ke arah rumah.

Setibanya di rumah, dia mendapati emak saya sedang duduk di beranda rumah sambil menangis untuk abang saya Pete, yang berusia 7 tahun, yang sedang digendongnya di riba. Ayah saya berkata ketika dia melihat Pete, dia kelihatan rata seperti roti perata. Dia juga perhatikan bahawa Pete masih bernafas, tetapi dengan setiap nafasnya, darah dan air keluar daripada mata, hidung, mulut dan telinganya.

Pete dan Belve, abang saya yang berumur empat tahun sedang bermain seolah-olah mereka adalah peladang. Pete mengangkat Belve ke atas tempat duduk traktor, dan dia menarik engkol di bahagian depan traktor. Enjin dihidupkan dan traktor itu melanggar Pete sehingga jatuh dan menggeleknya.

Ayah saya dengan hati-hati mengangkat Pete dari lengan ibu saya, meletakkannya di kerusi belakang kereta dan bergegas ke hospital terdekat di pekan kecil Memphis, Texas. Tiga doktor memeriksa Pete dan mereka semua bersetuju, "Dia ada tulang rusuk yang patah yang telah mencucuk paru-paru, itulah sebabnya darah keluar daripada semua saluran." Mereka juga bersetuju bahawa Pete kemungkinan tidak akan hidup melebihi 10 minit. 

Detik Yang Mengubahkan

Doktor-doktor itu membawa Pete untuk mengambil x-ray dan untuk melakukan apa yang mereka dapat untuknya, dan Ayah saya ditinggalkan keseorangan di ruang menunggu yang kecil di hospital itu. Sambil dia berdiri di situ dengan hati yang berat, ada satu perkara yang memenuhi fikirannya. Selama lima tahun dia tidak mentaati panggilan Tuhan dalam hidupnya. 

Selama lima tahun dia telah mengalami perasaan yang semakin jelas bahawa Tuhan telah memanggilnya untuk pelayanan sepenuh masa. Bagaimanapun, dengan hanya pendidikan sehingga darjah empat dan sebuah keluarga muda untuk dijaga, ianya kelihatan mustahil, dan dia tidak pernah berkongsi dengan sesiapa pun pengalaman-pengalamannya. 

Tetapi sekarang, sambil menghadapi krisis ini, dia melangkah masuk sebuah bilik air, mengangkat tangan kanannya ke arah syurga, dan berkata, "Tuhan, aku siap!"  Itu saja. Cuma tiga perkataan. Dengan tiba-tiba segala ketakutan dan kebimbangannya lenyap dari hatinya, dan dia mengetahui dalam dirinya bahawa Pete akan ok.

Dia melangkah keluar dari bilik air itu dan terpaksa menunggu selama sejam sebelum mendapat berita mengenai Pete. Tetapi sepanjang masa itu, hatinya merasa aman. Dia tahu bahawa Pete sudah ok. Karunia iman nyata sekali telah diberikan kepadanya dalam situasi itu.

Kuasa Yang Lebih Tinggi dan Detik Yang Mengubahkan

Akhirnya, salah seorang daripada doktor-doktor itu muncul dan berkata, "Encik Hyatt, ada kuasa yang lebih tinggi di sini pada malam ini." Dia meneruskan dengan menjelaskan bahawa mereka tahu bahawa tulang rusuk Pete patah dan mencucuk paru-parunya. "Tetapi kami baru selesai dengan x-ray," katanya, "Pendarahan sudah berhenti, dan tidak ada satu pun tulang yang patah di tubuhnya."

Seorang jururawat yang menjaga Pete dalam masa singkatnya di hospital, menghadiri gereja yang sama dengan ibu bapa saya. Dia berdiri semasa kebaktian gereja dan bersaksi bahawa dia tidak pernah mengalami kuasa Tuhan seperti yang dialaminya di bilik Pete pada hari itu.

Saya berusia tiga minggu pada waktu itu, dan itu adalah detik yang mengubahkan dalam kehidupan keluarga saya. Doa itu bukan sahaja membawa kesembuhan ajaib, tetapi ianya telan mengubah destini Ayah saya. Menerusi satu mukjizat lain, dia telah tinggalkan ladang itu, dan seterusnya telah menggembalakan gereja-gereja Assemblies of God selama lebih 35 tahun.

Doa penyerahannya pada hari itu telah mengubah banyak jiwa-jiwa yang lain juga. Saya pasti bahawa saya tidak akan menulis buku-buku, menjadi pensyarah di Universiti Oxford dan mengkhabarkan Injil ke sekeiling dunia jika bukan kerana doa tiga perkataan itu. Ianya adalah detik yang mengubahkan halatuju ataupun destini kehidupan.

Anda Boleh Mengubah Destini Anda

Baru-baru ini semasa satu sesi doa, saya terfikir bahawa jika orang-orang Kristian di sekeliling Amerika mendoakan doa yang sama itu dengan ikhlas dan dalam kebenaran, ianya akan mengubah halatuju dalam hidup mereka, gereja-gereja mereka, dan negara mereka.

Kunci kepada kuasa doa ayah saya adalah ianya merupakan doa penyerahan sepenuhnya. Ianya adalah doa penyerahan tanpa syarat. Dia mengibarkan bendera putih dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan.

Kita mungkin boleh tawar-menawar dalam hubungan kita sesama manusia, tetapi apabila kita datang kepada Tuhan, Dia menuntut penyerahan sepenuhnya. Seperti Yesus katakan dalam Lukas 14:26-27, "Jikalau seorang datang kepada-Ku dan ia tidak membenci bapanya, ibunya, isterinya, anak-anaknya, saudara-saudaranya laki-laki atau perempuan, bahkan nyawanya sendiri, ia tidak dapat menjadi murid-Ku. Barangsiapa tidak memikul salibnya dan mengikut Aku, ia tidak dapat menjadi murid-Ku."

Ya, Tuhan menuntut penyerahan penuh di pihak kita. Dan kenapakah Dia tidak harus melakukan itu? Dia adalah yang paling berhikmat dan penuh kasih di seluruh alam semesta, dan hanya Dialah yang tahu apakah yang terbaik bagi kita, ciptaan-Nya. Memberi pilihan lain bukanlah kasih.

Adakah anda sedia menyerahkan segalanya kepada Tuhan? Angkatlah tangan kanan anda, dan dari dalaman hati anda, katakan kepada-Nya, "Tuhan, aku siap."

Dr. Eddie L. Hyatt adalah seorang pengarang, pengajar Alkitab dan seorang pastor yang telah ditahbiskan. Buku-bukunya boleh diperolehi melalui Amazon atau laman webnya www.eddiehyatt.com

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Charimsa Magazinne bertajuk, "This 3-Word  Prayer Turned A Disobedient Farmer Into A Spirit-Led Pastor" yang ditulis oleh Eddie L. Hyatt bertarikh 31 Mei 2017)