Sabtu, 24 Jun 2017

Evangelikalisme Bukan Penyebab Ramai Yang Murtad, Jelas Aktivis MA63

Foto Borneo Today

KOTA KINABALU: Evangekalisme bukan sebab ramai orang yang Murtad, khususnya di Sabah. Masalah ini berpunca daripada sikap tidak peduli dan kelalaian Jabatan Pendaftaran Negara, kata Zainnal Ajamain seorang activis Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau menjawab persoalan yang di timbulkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd Amin yang di petik menggesa undang-undang mengharamkan evangekalisme Kristian di Malaysia ditangani dengan tegas kerana mengancam keharmonian agama yang serius di negara ini.

Zainnal Ajamain
Zainnal, yang juga penulis buku “The Queen’s Obligation”, mengatakan beliau kesal dengan pendapat Azril ini disebabkan kenyataan tersebut dibuat berdasarkan kepada penyelidikan yang tidak mantap dan tidak menyeluruh.

“Sebagai satu badan yang banyak menyuarakan isu-isu ethnic Rohingya sudah tentu pusat seperti ini sudah menyelidiki perkara seperti ini sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan apa apa kenyataan.

“Namun beliau membuat kenyataan seperti ini tanpa mengkaji punca bilangan orang yang meminta agamanya di tukar khususnya didalam kad pengenalan mereka,” kata Zainnal, seorang ahli ekonomi.

Tambah beliau: “Ini bukan hasil daripada kerja kerja evangekalisme. Membuat tuduhan bahawa ini disebabkan kepada kerja-kerja penyebaran agama Kristian adalah salah dan tidak berasas langsung.

“Azril sebagai warga Malaysia sepatutnya lebih mengetahui dan prihatin kepada warna warni budaya, agama dan wilayah yang wujud di Negara ini.”

Jabatan Pendaftaran Negara
Mengikut Zainnal, sebenarnya peningkatan bilangan orang yang mahu menukarkan agama mereka di Kad Pengenalan bukanlah di sebabkan oleh kerja-kerja gereja, namun berpunca dari sikap tidak peduli dan kelalaian Jabatan Pendaftaran Negara apabila memproses pendaftaran khususnya di Sabah.

Ini disebabkan ramai ibu bapa di Sabah meletakkan perkataan “bin” dan “binti” didalam borang pendaftaran anak anak mereka.

“Keadaan menjadi parah apabila sistem komputer Jabatan Pendaftaran Negara pula secara otomatik meletakkan agama Islam sebaik saja ada perkataan ‘bin’ dan ‘binti’ dan perkara seperti ini menjadi lebih tenat apabila kakitangan yang memproses pendaftaran tersebut berasal dari Malaya – tidak memahami keadaan tempatan,” Zainnal menjelaskan.

Pengeluaran Kad Pengenalan pula bukan siap dengan serta merta, ia mengambil masa. Ada pula yang bertahun.

Bayangkan ada pemilik Kad Pengenalan ini perlu berjalan dua hari daripada kampung mereka ke pusat pendaftaran yang berdekatan.

“Jangan fikirkan prasarana di Sabah sama seperti yang terdapat di Kuala Lumpur – itu hanya janji kosong Tunku Abdul Rahman semasa pembentukan Malaysia saja. Sudah Malaysia dibentuk janji tinggal janji,”beliau berkata lagi.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya terjadi sekiranya semua yang mengakui mereka warga Malaysia lebih prihatin. Ini termasuk pemimpin Sabah dan Sarawak yang tidak mengambil berat terhadap perkara seperti ini.”

Zainnal merakamkan setinggi tinggi tahniah kepada Richard Malanjun, Hakim Besar Sabah dan Sarawak kerana menjadi penaraju Mahkamah Bergerak di Sabah yang banyak berjasa untuk menyelesaikan masalah kesilapan Jabatan Pendaftaran Negara di Sabah.

Berdasarkan kepada perkara diatas, sepatutnya Azril Mohd Amin menghulur jari sepuluh memohon maaf kepada rakyat Sabah dan Sarawak khususnya kepada mereka yang beragama Kristian, tambah beliau.

“Saya berharap perkara ini dibuat satu iktibar sebelum membuat apa-apa kenyataan terhadap Sabah atau Sarawak, orang-orang daripada Malaya perlu merujuk kepada orang Sabah atau Sarawak terlebih dahulu.

“Ini disebabkan kenyataan yang tidak dibuat melalui kajian terperinci akan mencemari warna warni Malaysia,” tambah Zainnal.

(Diambil daripada artikel Borneo Today bertajuk, "Evangekalisme Bukan Penyebab Ramai Yang Murtad, Jelas Aktivis MA63" bertarikh 24 Jun 2017)