Rabu, 28 Jun 2017

Kisah Iman Kolonel Sanders, Pengasas KFC


Setelah Bertahun-Tahun Dalam Pencarian, Kolonel Sanders Menerima Yesus

Kita perlu berterima kasih kepada Kolonel Sanders untuk daging ayam yang begitu lazat sehingga menjilat jari. Tetapi sedikit orang yang tahu mengenai kisah kesukaran di sebalik kejayaan pengasas Kentucky Fried Chicken itu. Ianya mengambil pencarian diri seumur hidup sebelum Harland Sanders menyempurnakan resipi ayam gorengnya, yang menjadikannya lagenda hari ini. Tetapi tidaklah sehingga pengasas KFC Kolonel Sanders menerima Yesus Kristus dalam hatinya, dia akhirnya menemukan kepuasan yang sejati. Dan kesaksian Kolonel itu hanya membuktikan bahawa tidak pernah terlambat untuk membuka hati kepada Tuhan!

Pengenalan Awal Memasak

Sebelum dia diberikan gelaran kehormat Kolonel, dipercayai dari gabenor Kentucky, Harland Sanders telah dilahirkan dalam keluarga yang miskin pada 1890. Ayahnya meninggal dunia ketika dia masih kecil, dan anak kecil lelaki itu membantu ibunya dengan memberi makan kepada adik-adiknya.

Foto usia kecil Kolonel Sanders dengan ibunya dan dua adiknya

"Aku memasak, dan emak menjahit untuk jiran tetangga," ingatnya. "Ketika berusia tujuh tahun, aku pertama kali membuat roti. Aku menjaga dua adik terkecil manakala emak bekerja."

Masa yang dihabiskan Kolonel di dapur akan membantunya kemudian dalam hidup, tetapi ianya mengambilnya lebih dari sedikit masa untuk menyedarinya! 

Perjalanan Hidup Yang Tidak Menentu

Ada sebilangan orang yang tahu dari awal apa yang mereka harus lakukan dalam hidup. Kolonel Sanders bukanlah salah seorang daripada mereka.

Kolonel berhenti dari sekolah ketika Gred Enam. Pada usia 16 tahun, dia berbohong mengenai umurnya dan menyertai tentera. Dia berkhidmat di Cuba selama kira-kira enam bulan sebelum dia diberhentikan secara hormat. Ada orang yang membuat andaian bahawa umur sebenarnya telah diketahui.

Pada usia 18 tahun, Kolonel Sanders berkahwin dengan Josephine King dari Jasper, Alabama. Pada 19 tahun, dia telah dirahmati dengan anaknya yang pertama - seorang anak perempuan yang mereka namakan Margaret. Pasangan itu kemudian menimang dua anak lagi, tetapi hidup tanpa haluan Kolonel itu membawa kesan buruk kepada perkahwinan mereka. 

Sebahagian besar hidup Kolonel dihabiskan berpindah-pindah dari pelbagai pekerjaan, sambil dia mencari kerja yang paling sesuai untuk dirinya. Dia telah mencuba kehidupan sebagai peladang, konduktor kenderaan awam, askar, ahli bomba keretapi, peguam, penjual insurans. pengurus kapal stim, setiausaha, pengilang lampu, dan sejumlah pekerjaan lain, termasuk pemilik hotel dan pengusaha restoran.

Dia telah dihentikan kerja dalam beberapa daripadanya, tetapi dalam kebanyakan daripadanya Kolonel telah menjadi bosan. Dia sedang mencari sesuatu... cuma dia tidak tahu apakah itu.

Josephine King Sanders,
isteri Kolonel Sanders

Pada satu ketika, Josephine telah membawa anak-anak mereka dan berpindah balik ke rumah ibu bapanya di Jasper. Dia tidak tahan lagi dengan tingkah Kolonel yang asyik berpindah kerja. Kolonel merasa sungguh kecewa dan dia pergi ke rumah mertuanya. Dia bersembunyi di hutan dekat rumah mereka, merancang untuk menculik anak-anaknya bila mereka keluar bermain. Tetapi Tuhan tidak mengizinkan!

Anak-anak itu tidak keluar bermain, tetapi ayah Josephine yang keluar rumah. Dia dan Kolonel akhirnya mengadakan perbualan yang serius. Ayah mertuanya membawanya masuk rumah, dan dia telah dapat memulihkan perhubungan dengan isteri untuk suatu masa.

Colonel Sanders masih terus berpindah-pindah kerja, dan akhirnya perkahwinannya dengan Josephine pun berakhir. Semasa menguruskan sebuah stesen Shell, Kolonel Sanders mula memasak lagi - menjalankan kafe dari stesen itu. 

Kolonel Sanders bekerja di kafenya pada 1930an

Pada usia 65 tahun, Colonel telah menjual restorannya yang pertama dan mendedikasikan perhatiannya mengembangkan francais Kentucky Fried Chicken. Dia akhirnya telah menemukan panggilan hidupnya yang sebenar. Pada usia 73 tahun, Kolonel telah menjual KFC Corporation untuk 2 juta dolar, dan akhirnya dalam keadaan kukuh secara kewangan.

Tetapi segala pencariannya dalam hidup belum selesai lagi.

Menemukan Yesus

Kini Kolonel Sanders sudah menjadi ahli perniagaan yang berjaya, anda akan berfikir bahawa dia sudah berpuas hati. Tetapi ada sesuatu di dalam dirinya yang menginginkan sesuatu yang lebih lagi.

Kolonel mula menghadiri gereja, dan bersahabat dengan seorang pastor bernama Waymon Rodgers. Pada suatu kebaktian, Waymon berlutut bersebelahan Kolonel, dan menanya kepadanya samada dia ingin dilahir baru.

"Aku betul-betul ingin. Adakah kamu fikir bahawa Yesus dapat menyelamatkan aku sehingga tahap Dia akan mengambil dariku tabiatku yang kerap sumpah seranah?" Kolonel itu menjawab sambil berlinangan air mata.

Dia dikenali memiliki mulut yang jahat. Tetapi sesuatu yang istimewa sedang berlaku pada malam itu.

"Kolonel, Tuhan akan menyelamatkan kamu pada malam ini dan kamu tidak akan menyumpah seranah lagi," Pastor Waymon memberitahunya. 

Dan pada detik itu, Kolonel Sanders menerima Yesus ke dalam hatinya. Akhirnya dia telah menemukan kepuasan yang telah dicarinya seumur hidupnya.

Beberapa hari kemudian, dia memberitahu pastor itu bagaimana segala-galanya telah berubah.

"Sejak aku mengucapkan doa pengakuan dosa itu, segalanya telah berubah dalam hidupku," dia berkata kepada Waymon Rodgers. "Sejak itu, aku tidak pernah sekalipun menyumpah seranah. Ianya benar-benar telah membawa perubahan dalam hidupku."

Mengumpulkan Harta Yang Abadi

Mulai dari detik itu, Kolonel mengizinkan Tuhan mengubah hidupnya dalam banyak cara. Dia telah dibaptis pada usia 77 tahun di Sungai Yordan, dan juga telah mengalami suatu kesembuhan ilahi.

Pastor Waymon berdoa untuk Kolonel Sanders sebelum dia memasuki bilik pembedahan untuk pertumbuhan di usus besarnya. Tetapi hari berikutnya, Kolonel menerima berita yang menakjubkan daripada doktor.

"Aku tidak perlukan pembedahan. Pastorku datang berdoa untukku dan Tuhan telah menyembuhkan aku. Doktor itu berkata, 'Kolonel, ketika aku membelah kamu, tidak ada lagi apa-apa pertumbuhan.'"

Dan sambil Tuhan bekerja di dalam kehidupan Kolonel, dia memiliki kerinduan besar untuk menyumbang kembali.




"Doa-doaku selalu disertai kesyukuran," katanya. "Tuhan sungguh baik kepadaku. Aku sangat percaya memberi persepuluhan."

Dia telah menghabiskan seluruh hidupnya bekerja untuk mendapat kekayaan. Tetapi setelah Kolonel Sanders menerima Yesus, dia menghabiskan tahun-tahun terkemudiannya menyumbangkan segalanya.

"Aku sentiasa fikir bahawa tidak ada gunanya menjadi orang terkaya di kuburan. Anda tidak boleh berurusan dari situ," Kolonel Sanders berkata semasa berusia 90 tahun. "Orang tidak tahu bahawa aku telah menyumbangkan kembali hampir segala wangku. Sebahagian besarnya telah disumbangkan kepada gereja-gereja."

Dan ianya hanya menunjukkan bahawa tidak kira apa pun, ianya tidak pernah terlambat untuk menyerahkan hidupmu kepada Tuhan!



Kolonel Sanders telah menjual KFC Corporation semasa berusia 73 tahun, Namun begitu dia telah terus menjadi duta untuk KFC selama bertahun-tahun lagi sehingga meninggal dunia pada usia 90 tahun pada 1980. Wajahnya masih dipakai sebagai logo KFC sehingga ke hari ini. 

(Diterjemahkan daripada artikel God Updates bertajuk, "The Facts About KFC Founder Colonel Sanders' Faith In God" yang telah dikemaskinikan pada Januari 2017)