Khamis, 15 Jun 2017

Temuramah Rhema Radio Dengan Isteri Dan Anak Pastor Raymond Koh (7 April 2017)


Semasa melayari web, saya telah menjumpai temuramah oleh Rhema Radio, bersama Susanna dan Jonathan Koh, isteri dan anak Pastor Raymond Koh. Berikut adalah terjemahan daripada temubual Rhema Radio bertarikh 7 April 2017.

Rhema Radio: Hai, Anda sedang mendengar Rhema Radio, siaran mingguan mengenai iman, budaya, muzik dan lebih lagi. Pada 13 Februari 2017, Pastor Raymond Koh telah diculik dari keretanya oleh sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10 Petaling Jaya. Rakaman CCTV yang dipercayai merakamkan insiden itu menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan 3 kereta SUV hitam telah terlibat dalam penculikan itu.

Kini, lebih sebulan telah berlalu dan masih belum ada berita mengenai keberadaan Pastor Raymond. Tiada tuntutan untuk wang tebusan, tiada petunjuk lain. Di studio hari ini, kami bercakap dengan isteri Pastor Raymond, Susanna Liew, dan anak lelaki Pastor Raymond, Jonathan Koh. Selamat datang ke studio.

Jonathan: Hello.

Rhema Radio: Di Malaysia hari ini, semua orang telah mengetahui dan mendengar mengenai kes Pastor Raymond, dan terdapat banyak spekulasi dan banyak berita berbeza yang tersebar ke sana-sini. tetapi saya fikir tujuan kami mengundang anda ke studio hari ini ialah untuk mengetahui siapakah Pastor Raymond sebagai seorang peribadi. Saya sendiri tak pernah bertemu dengannya secara peribadi, tetapi hari ini saya ingin mendengar lebih lagi dari anda siapakah Pastor Raymond.

Susanna: Pastor Raymond adalah seorang yang sederhana dan rendah hati. Dia sentiasa tersenyum dan dia seorang ayah yang penyayang kepada tiga anak saya, dan seorang suami yang penyayang kepada saya. Dia suka menolong saya dalam kerja rumah, membuang sampah selepas makan malam. Dan dengan anak-anak. dia suka membuat cerita untuk menceritakan kepada mereka sebelum tidur semasa mereka lebih muda, Dia suka bermain gitar untuk menenangkan fikiran dan dia telah menulis beberapa lagu penyembahan.

Rhema Radio: Jonathan, adakah kamu ingat waktu-waktu ayah kamu bercerita kepada kmau?

Jonathan: Itu adalah waktu yang sudah lama berlalu sewaktu saya masih sangat kecil, mungkin 5 tahun, dan saya tidak ingat dengan begitu jelas, tetapi saya ingat ketelitian dan prihatinya sambil dia menyiapkan kami untuk tidur.




Rhema Radio: Ceritakan lebih lagi mengenai ayah kamu di rumah.

Jonathan: Dia melakukan banyak untuk keluarga, dan dia ayah yang selalu berkorban.

Rhema Radio: Bagaimana masa muda Pastor Raymond? Dari manakah asalnya, keluarganya, latar belakangnya?

Susanna: Pastor Raymond membesar dalam keluarga Taois. Dia membesar di Kampung Jawa di Johor, oleh itu dia suka memancing, bermain dengan kayu, permainan-permainan yang ringkas. Ketika dia pergi bekerja di Singapura, dia telah dijemput mengikuti satu kebaktian penginjilan, dan pada malam itu dia telah menyerahkan hidupnya kepada Yesus. Dan selepas itu telah dapat mebuang tabiat buruknya berjudi dengan pertolongan Tuhan. Dan dia mula memiliki cinta kepada Firman Tuhan, dan dia menggunakan bakatnya bermain gitar untuk mengajar anak-anak muda bagaimana bermain gitar di gereja.

Rhema Radio: Masihkah anda ingat hari pertama anda bertemu dengannya?

Susanna: Ya, kami pada masa itu bekerja di kapal pustaka buku antarabangsa. Saya sedang bekerja di dapur dan dia pula bekerja di bilik enjin. Saya teringat pada suatu hari saya melihatnya, dia penuh dengan abu, dan pakaiannya sangat berminyak. Dan tentu saja orang akan mengelakkan darinya. Tetapi saya berfikir, "Oh wah, ini seorang lelaki yang bekerja kuat, dan dia melayani Tuhan, sangat komited kepada Tuhan."

Rhema Radio: Adakah itu yang menarik hati anda terhadapnya?

Susanna: Ya, saya fikir aspek ini mengenai kehidupan Kristiannya, bahawa dia komited dan penuh kerinduan untuk melayani Tuhan, membaca Firman-Nya dan mengongsikan Injil kepada orang lain, inilah yang telah menarik hati saya kepadanya....

Dengarlah temuramah yang sepenuhnya di pautan Rhema Radio di bawah: