Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Amin (cetakan skrin YouTube oleh The Malaysian Insight) |
SEBUAH gabungan NGO Islam mencadangkan satu tindakan
provokatif: haramkan
evangelicalisme Kristian di Malaysia.
Walaupun cadangan itu kelihatan sukar menerima pandangan
positif Barisan Nasional memandangkan kekuatan pengundi Kristian di Malaysia
Timur, cadangan itu sendiri membuktikan betapa garis toleransi agama negara ini
semakin menipis.
“Di Malaysia, gerakan berbahaya evangelicalisme ini perlu
dibendung kerana menggugat keharmonian beragama di Malaysia,” kata Ketua
Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril
Mohd Amin dalam sebuah rencana yang diterbitkan Utusan Online hari ini.
“Justeru, kerajaan perlu menimbangkan untuk memperkenalkan
undang-undang anti-evangelicalisme demi memastikan percubaan gerakan
evangelical Kristian ini untuk mendominasi dakyah Kristian tidak berlaku,”
tambahnya.
Azril juga menyuarakan sokongan kepada pengharaman acara
Kristian baru-baru ini di Melaka. Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Zahid
Hamidi mengarahkan polis untuk membatalkan acara empat hari dikenali sebagai
Jerusalem Jubilee itu.
Azril berkata tindakan Zahid “bertepatan dengan tugas
pemerintah untuk melindungi akidah umat Islam” kerana Islam ialah agama rasmi
Malaysia.
Pengharaman itu selaras dengan Perkara 11 Perlembagaan
Persekutuan yang mahu menjaga keamanan antara agama, katanya.
“Pada hakikatnya, ramai sarjana Kristian sendiri yang
mengakui bahawa kecenderungan ini telah membawa kesan buruk kepada pertumbuhan
gereja,” katanya lagi.
Azril mendakwa asal usul gerakan evangelical Kristian bermula
dengan National Association of Evangelicals (NAE) di Amerika Syarikat pada
1942, yang kata Azril dibentuk untuk “mengimbangi kelompok fundamentalis yang
terlebih dahulu membentuk American Council of Christian Churches (ACC).”
”Gerakan tersebut 20 tahun kemudian telah memunculkan sikap
beragama baharu yang cenderung terhadap positivisme, kebebasan yang tanpa batas
dan kecenderungan terhadap keterbukaan tanpa kawalan,” dakwa Azril.
Azril berkata yang Malaysia perlu mengikut jejak Russia
mewujudkan undang-undang akta anti evangelisme, dikenali di negara it sebagai
Akta Yarovaya, untuk menyekat ekstremis dan keganasan. Pindaan akta itu
ditandatangani Presiden Russia Vladimir Putin Julai lalu.
“Kerajaan perlu meneliti kesesuaian cadangan ini dan
mengusulkan kepada kamar peguam negara untuk mengkaji kemungkinan pengenalan suatu
undang-undang tersebut.
“Adalah terang lagi bersuluh bahawa undang-undang
anti-evangelisme perlu diwujudkan segera bagi membendung dan mengekang kegiatan
aktiviti evangelis yang menggugat kerharmonian dan keamanan, sekali gus turut
menggugat keselamatan dalaman negara kita. Kerajaan didesak segera berbuat
demikian, sebelum padah melanda.” katanya lagi.
Jerusalem Jubilee dianjurkan Calvary Life Assembly Chinese
(GLAC).
Perhimpunan serupa dirancang diadakan di Miri menampilkan
penceramah yang sama dari Jerusalem Jubilee juga dibatalkan Persatuan Gereja di
Sarawak.
Pemimpin negeri kerajaan dan pembangkang turut sama mengecam
larangan acara perhimpunan penganut Kristian itu.
“Ini hanyalah perhimpunan kebangkitan yang asasnya selari
dengan kepercayaan ramai penganut Kristian,” pemimpin PKR Sarawak Baru Bian
memberitahu The Malaysian Insight minggu lepas.
Lebih daripada 42% penduduk Sarawak beragama
Kristian. – 15 Jun, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Haramkan Evangelicalisme Kristian Di Malaysia, Kata NGO" yang ditulis oleh Bede Hong bertarikh 15 Jun 2017)