Ahad, 1 Oktober 2017

Akhbar Nasional Tidak Lagi Beredar Di Sabah Dan Sarawak Mulai Hari Ini


KUCHING: Mulai 1 Oktober tidak akan ada lagi akhbar nasional dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang berpangkalan di Kuala Lumpur beredar di Sarawak dan Sabah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), syarikat itu akan memberhentikan percetakan dan pengedaran News Straits Times, Harian Metro dan Berita Harian.

“…NSTP telah mengambil langkah berani untuk menawarkan hanya versi digital kepada akhbar-akhbar perdananya di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam BH hari ini.

“Memandangkan ramai pembaca kami di Sabah dan Sarawak hari ini telah beralih ke versi digital, keputusan telah diambil untuk memberhentikan cetakan kami di Sabah dan Sarawak dan hanya menumpu kepada penghasilan versi digital yang lebih baik dan bermutu tinggi,” katanya.

Beliau berkata, bagi menambah nilai transformasi berkenaan, ketiga-tiga akhbar perdana terbabit akan turut menawarkan edisi tertentu di Sabah dan Sarawak dengan lebih berita tempatan dan pengisian yang lebih relevan untuk masyarakat.”

Dengan pemberhentian pengedaran tiga akhbar itu, bermakna berakhirlah era pengedaran akhbar cetak nasional di Sarawak dan Sabah.

Beberapa bulan lalu akhbar nasional yang lain, The Star dan Utusan Malaysia juga memberhentikan edarannya di kedua-dua negeri itu.

Penganalisis media berkata langkah itu terpaksa diambil oleh pihak akhbar terbabit untuk menjimatkan kos di sebalik edarannya merudum.

Angka terbaharu menurut Biro Audit Edaran (ABC) menunjukkan semua akhbar dalam semua bahasa mengalami kemerosotan teruk dari segi edaran antara 18 hingga 62.2 peratus.

Kemerosotan itu kata penganalisis berpunca antaranya kerana pembaca lebih berminat membaca berita daripada portal kerana cepat dan percuma, selain laporan media arus perdana yang disifatkan sendeng atau bias.

Kini Sarawak mempunyai dua akhbar tempatan dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Cina masing-masingnya.


(Diambil daripada artikel Sarawakvoice.com bertajuk, "Akhbar Nasional Tidak Lagi Beredar Di Sabah, Sarawak Mulai Esok" yang ditulis oleh Hamzah Ali bertarikh 30 September 2017)