Khamis, 16 November 2017

Mais: Dewan Bahasa Boleh Sediakan Alkitab Bahasa Malaysia Untuk Memperbetulkan Penggunaan Kalimah Allah Oleh Kristian


KUALA LUMPUR, 15 Nov - Dewan Bahasa dan Pustaka boleh menyediakan terjemahan rasmi Bahasa Malaysia untuk Alkitab untuk memperbetulkan yang didakwa kesilapan Kristian dalam penggunaan kalimah Allah untuk merujuk kepada "God", Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menegaskan di mahkamah hari ini.

Peguam Mais, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mendakwa bahawa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak telah salah menggunakan kalimah Allah untuk "God" dalam Bahasa Malaysia, dan berhujah bahawa mereka sebaliknya harus menggunakan kalimah "Tuhan" dan bahawa ini tidak akan mengabaikan hak mereka. 

"Itulah sebabnya kita mengusulkan bahawa ianya seharusnya dihantar ke Dewan Bahasa. Itu juga akan sejajar dengan perenggan kedua dari 2011," katanya, merujuk kepada Penyelesaian 10 Perkara oleh kerajaan yang dikeluarkan pada 2011 yang menyatakan bahawa Alkitab dari semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia, boleh dicetak di Malaysia. 

"Kerajaan Malaysia juga berminat membenarkan penerbitan Alkitab dalam Bahasa Malaysia. Jika penerbitan Alkitab dalam Bahasa Malaysia dibenarkan, Dewan Bahasa kemudian akan menyediakan teks untuk diluluskan oleh masyarakat Kristian, kita kemudian tidak akan mempunyai isu ini untuk generasi akan datang," katanya. 

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Nor Bee Ariffin kemudian mencelah untuk bertanya jika Dewan Bahasa, sebagai badan berkuasa dalam Bahasa Malaysia, akan berkecekapan untuk melakukan penterjemahan Alkitab. Haniff menegaskan bahawa Dewan Bahasa berkecekapan untuk melakukannya. 

Hakim itu kemudian menyatakan bahawa masyarakat Kristian tempatan yang berbahasa Malaysia telah menggunakan kalimah Allah untuk masa yang lama, dan bertanya jika Dewan Bahasa boleh menyatakan sebaliknya jika masyarakat Kristian bertegas untuk menggunakan kalimah Allah. 

Haniff menjawab, "Tentu boleh. Jika bahasa digunakan dengan salah, ianya harus diperbetulkan."

Haniff sedang berucap di mahkamah bagi pihak Mais sebagai amicus curiae, atau sahabat kepada mahkamah, untuk membantu dalam pemahaman bagaimana kalimah Allah digunakan dalam Islam. 

Hari ini mahkamah mendengar kes tuntutan Jill Ireland Lawrence Bill - seorang Bumiputera Kristian berbahasa Malaysia dari Sarawak - terhadap Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk menegakkan hak-hak berperlembagaannya yang dikatakan dilanggar oleh pengharaman penggunaan kalimah Allah ke atas penerbitan-penerbitan Kristian.

Mansoor Saat, seorang peguam untuk Jill Ireland, bagaimanapun memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa kalimah Allah adalah "kata nama umum atau kata asas dari bahasa Semitik mengenai konsep Tuhan, samada dalam bahasa Ibrani, Aramaik, Arab dan seterusnya", mendasarkan ini atas empat ayat dalam Al-Quran yang telah disebut sebelum ini. 

Mengulangi kembali bahawa Al-Quran mengizinkan bukan Islam untuk memanggil konsep Tuhan mereka sebagai "Allah", Mansoor juga menyebut ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa tidak ada paksaan dalam agama dan setiap orang harus dibenarkan mengikut agama mereka sendiri. 

"Al-Quran tidak menyatakan bahawa mereka tidak boleh menggunakan kalimah Allah jika mereka boleh hidup bersama dan menyembah dengan cara yang mereka ingini. Tentunya saya tidak ingin ikuti agama mereka, tetapi tentu sekali kita tidak boleh paksakan agama kita ke atas mereka," katanya, sambil merujuk ayat-ayat Al-Quran dari Surah 109 Al-Kafirun.

Lim Heng Seng, juga seorang peguam untuk Jill Ireland, telah lebih awal hari ini menyatakan bahawa penggnnaan kalimah Allah telah dilakukan sebelum kewujudan Islam dan berkata bahawa kalimah itu digunakan di pelbagai negara dan oleh agama-agama lain. 

"Orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah bukan kerana mereka ingin menyinggung mana-mana pihak tetapi kerana itulah kalimah yang telah digunakan oleh nenek moyang mereka," dia juga mengatakan.

Lim juga telah berkata bahawa masyarakat Kristian tempatan yang berbahasa Malaysia telah menggunakan kalimah Allah untuk bergenerasi dan sebelumpun Malaysia dibentuk, di samping menyebut dokumen-dokumen bersejarah Kristian dalam BM yang bertarikh dari tahun 1600an sebagai bukti amalan itu yang disifatkannya sebagai asasi dalam agama mereka.

Peguam-peguam Jill Ireland juga telah katakan sebelum ini bahawa penggantian kalimah "Allah" dengan "Tuhan" akan menghasilkan terjemahan-terjemahan yang akan bertentangan dengan doktrin dan kepercayaan Kristian, dengan menyebut umpama bagaimana "Lord God" yang kini diterjemahkan sebagai "Tuhan Allah" akan menjadi berbeza dan menghujat dalam maksudnya jika digantikan menjadi "Tuhan Tuhan".

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk, "Mais: Dewan Bahasa Can Prepare BM Bible To Correct Christian's 'Allah' Use" yang ditulis oleh Ida Lim bertarikh 15 November 2017)