Jumaat, 24 November 2017

Penculik Pastor Koh Nampak Terlatih, Kata Saksi

Ketua Siasatan Jenayah Selangor,
SAC Fadzil Ahmat

Siasatan Awam Suhakam ke atas kehilangan Pastor Koh dan tiga orang lagi masuk ke hari kesebelas (23 Nov 2017).

Panel Suhakam terdiri daripada: Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

9.20am: Siasatan awam bersambung semula dengan saksi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

9.40am: Peguam keluarga Koh tanya Fadzil tentang signal daripada telefon bimbit Koh yang kali terakhir didapati di Taman Mayang.

Peguam tanya adakah Fadzil tahu di mana menara pemancar terletak di Taman Mayang dan kemudian dijawab tidak tahu.

Peguam kemudia tanya adakah Fadzil tahu ada lebih satu menara untuk menerima signal itu.

Fadzil berkata beliau tidak tahu butiran terperinci secara teknikal bagaimana fungsi menara berkenaan.

Peguam kemudian tanya adakah signal Koh di Taman Mayang di mana ada kemungkinan tinggi penculik melalui kawasan itu.

Fadzil berkata mungkin mereka melalui kawasan itu.

“Mungkin penculik yang pegang telefon itu atau ada orang lain. Tetapi saya setuju signal datang dari Taman Mayang.”

10.00am: Pesuruhjaya Mah tanya kepada peguam keluarga Koh kenapa dia asyik bertanya mengenai signal dan laluan keluar yang mungkin diambil penculik pada Fadzil.

Peguam berkata soalan itu untuk menunjukkan pasukan petugas khas di bawah Fadzil tidak memberitahu segala-galanya yang mereka tahu kepada siasatan awam itu.

“Mereka tidak serahkan apa-apa bukti. Semua maklumat yang kita dapat daripada pemerhati. Mereka tidak beritahu kita semuanya.”

Fadzil berkata mereka tidak boleh dedahkan semuanya.

“Kami tahu signal terakhir Koh pada 2 petang dan kami periksa dan tidak peroleh apa-apa. Kami tidak boleh dedahkan apa kami buat dari A sampai Z.”

10.20am: Peguam keluarga Koh tanya Fadzil ada dia menerima rakaman CCTV daripada Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM).

Peguam tanya adakah Fadzil tahu LLM mempunyai sistem pemantauan berpusat dan semua konsesi lebuh raya perlu ada CCTV.

Fadzil berkata mereka terima rakaman CCTV daripada NKVE, LDP dan Sprint.

Peguam bertanya adakah pasukan petugas khas polit meminta LLM rakaman itu.

“Anda kata empat individu yang hilang itu mungkin berkait. Dan mereka hilang di tempat berbeza di Malaysia. Adakah anda terfikir relevan untuk melihat ke mana mereka pergi?”

Fadzil berkata mereka hanya minta CCTV yang relevan dengan kes itu.

“Kami tidak minta rakaman daripada LLM.”

10.45am: Peguam keluarga Koh tanya Fadzil adakah kemungkinan ia operasi polis, selepas menonton video itu.

Fadzil berkata operasi polis sangat teratur dan ada persamaan modus operandi dengan bagaimana Koh diculik.

“Ya, kami ada MO hampir sama. Ia nampak sama menerusi pandangan taktikal. Ia corak yang sama bagi operasi tersusun.

“Saya tidak kata ia operasi polis tetapi polis ada menjalankan operasi dengan cara itu.

“Mereka (penculik) pastinya terlatih.”

11.05am: Peguam keluarga Koh tanya Fadzil adakah mana-mana pegawai yang tidak ada lencana di pakaian mereka.

Fadzil berkata anggota polis perlu memakai lencana di pakaian mereka dalam mana-mana operasi.

“Polis perlu ada lencana dan mengenalkan diri mereka. Jika tidak maka mereka bukan polis.

“Ada yang pakai, ada yang tidak pakai. Saya tidak tahu.”

11.25am: Peguam keluarga Koh bertanya adakah Fadzil boleh mengesahkan siasatan penculikan Koh dijalankan bersama DCP Huzir dari Bukit Aman.

Fadzil berkata beliau ada berbincang beberapa perkara dengan Huzir.

Peguam tanya adakah Bukit Aman memantau siasatan itu, dan Fadzil menjawab ya.

Peguam bertanya adakah Bukit Aman memberikan hala tuju kepada Fadzil dalam siasatan kes itu.

Fadzil berkata kadangkala ada daripada Huzir.

11.35am: Siasatan awam berhenti rehat 15 minit.

12.05pm: Peguam keluarga Koh menyoal Fadzil jika ada kemungkinan beliau tidak diberitahu bahawa penculikan Koh dilakukan oleh unit polis.

Fadzil berkata “sangat pasti tidak.”

Peguam menyoal Fadzil jika ada kemungkingan penculikan Koh dilakukan oleh Cawangan Khas dan bukan CID.

“Adakah mungkin penculikan itu boleh dikaitkan dengan kumpulan penyangak dalam pasukan polis.”

Sekali lagi Fadzil berkata tidak, tidak mungkin.

SAC Fadzil Ahmat

12.25pm: Peguam keluarga Koh menyoal Fadzil adakah mana-mana anggota pasukan memberitahu Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar sebelum beliau membuat sidang media.

Fadzil berkata, setakat yang beliau tahu, hanya beliau sahaja yang akan memberitahu Khalid.

“Saya akan beritahu beliau (Khalid). Tetapi bila beliau akan buat sidang media, saya tidak tahu.”

Peguam bertanya Fadzil, adakah beliau pasukan petugasnya berbincang mengenai suspek yang ditahan di Utara, seperti mana yang disebut oleh Khalid dalam sidang media.

Fadzil jawab, semua suspek dalam kes Koh dibincangkan dengan pasukan petugas.

12.50pm: Peguam keluarga Koh menyoal Fadzil jika beliau tahu andai polis Kedah memasukkan barang yang dirampas selepas kejadian menembak di Utara ke dalam senarai carian polis.

Peguam berkata, barangan itu adalah nombor plat Koh, gambar-gambar Koh, rumah dan keretanya. 

Peguam kemudian bertanya Fadzil jika beliau pernah melihat senarai carian itu.

Fadzil berkata, beliau tidak melihat senarai carian memandangkan operasi dilakukan di Utara.

Peguam menyoal Fadzil jika barang-barang yang dirampas itu berkemungkinan ada dalam senarai carian.

Fadzil berkata, ya.

Mah kemudian menyoal Fadzil adakah anggotanya pergi ke Kedah dan Perak untuk mengumpul bukti.

Fadzil hanya berkata, barang-barang itu diberikan kepada ASP Supari.

1.00pm: Siasatan awam dihentikan untuk makan tengah hari.

2.30pm: Peguan keluarga Koh menyoal Fadzil adakah empat suspek yang ditangkap berhubung kes Koh di Utara adalah pengganas.

Fadzil berkata, mereka tidak ada bukti untuk mengatakan suspek itu adalah pengganas.

Peguam meminta Fadzil mengesahkan adakah keempat suspek yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan kes Koh.

Fadzil berkata, selepas mereka menyiasat, tidak ada sebarang bukti yang mereka itu berkait dengan kes Koh.

2.55pm: Peguam keluarga Koh menyoal adakah Fadzil tahu keempat suspek itu tidak ada kena mengena dengan kes Koh, sebelum Khalid membuat sidang media.

Fadzil berkata, beliau tidak ingat tarikh.

“Selepas kami tangkap suspek, kami reman mereka. Kami buat siasatan dan mendapati tidak ada pertalian dengan Koh.”

Peguam kemudian menyoal Fadzil mengenai apakah jenis bangsa dan jantina suspek itu.

Fadzil kata, dua lelaki Melayu, seorang India dan seorang wanita Thai iaitu isteri suspek yang ditembak mati.

Peguam bertanya, ketika mereka menyoal ASP Supari, beliau memberitahu yang beliau hanya menangkap tiga lelaki Melayu dan seorang lelaki India, tetapi tidak tahan si isteri itu.

Fadzil berkata, beliau tidak dapat ingat semua perkara.

“Kalau Supari kata tiga lelaki Melayu dan seorang lelaki India, kita ikutlah kenyataannya sebab dia adalah pegawai penyiasat kes ini. Dia mesti tahu semuanya.”

Peguam kemudian bertanya adakah si isteri itu ditahan, yang mana Fadzil membalas, si isteri itu tidak ditahan.

3.10pm: Pesuruhjaya Mah bertanya pada Fadzil sama ada si isteri kepada suspek yang ditembak mati itu di bawa ke Kuala Lumpur untuk disiasat.

Fadzil jawab tidak.

Mah kemudian menyoal Fadzil, bukankah sebahagian dari siasatannya untuk menyiasat si isteri berhubung kes Koh.

Fadzil berkata, si isteri itu disiasat oleh polis Kedah.

Mah bertanya adakah si isteri itu disiasat oleh pasukan petugas.

Fadzil berkata beliau perlu semak kembali.

Fadzil berkata, si isteri itu direman seminggu tetapi polis tidak menemui apa-apa.

Mah berkata, persoalan besar yang perlu beliau jawab ialah bagaimana keempat barang itu ( nombor plat, gambar-gambar Koh, kereta dan rumahnya) boleh ada di rumah suspek yang ditembak mati.

“Bagaimana pula barang-barang itu boleh ada di rumah. Adakah kamu semua tahu?”

Fadzil berkata, setakat ini belum ada sebarang petunjuk.