Jumaat, 24 November 2017

Poster Diubah, 'Mantan Rahib' Masih Akan Beri Ceramah

Cetakan skrin pos Facebook oleh
Nur Fitrah pada 18 Nov 2017
(Foto: The Malay Mail)

SEORANG wanita warga Indonesia masih akan bercakap di sebuah ceramah “Mengenali Kristologi” walaupun penganjur memutuskan untuk mengeluarkan perkataan "mantan rahib" di dalam poster mereka.

Menurut penganjur yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO), Nur Fitrah, ia dilakukan berikutan pelbagai kritikan yang diterima dari orang ramai.

"Nur Fitrah telah menerima pelbagai kritikan penggunaan perkataan mantan rahib oleh penganut Kristian dari Indonesia, walaupun wakil Ibu Irene (Irene Handano) telah mengesahkan bahawa beliau pernah menjadi biarawati," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Menjelaskan salah faham yang dihadapi, Nur Fitrah berkata, pihaknya menyangka bahawa seseorang tersebut digelar mantan rahib apabila individu terbabit pernah menjalani beberapa latihan kerahiban.

"Bagi fahaman Muslim di Malaysia, seseorang yang pernah mengisytiharkan dirinya sebagai rahib dan melalui beberapa latihan kerahiban adalah mantan rahib.  

"Fahaman ini rupanya bercanggah dengan istilah di sisi penganut Kristian bahawa calon rahib yang berhenti dari menjadi rahib atau rahib yang tidak memenuhi syarat ordinassi tidak boleh digelar mantan rahib.

"Justeru, bagi mengelakkan pertikaian yang lebih panjang, Nur Fitrah akan menggugurkan perkataan mantan rahib dari poster-poster iklan program kami," katanya.

Nur Fitrah juga mengatakan program tersebut hanya terhad kepada Muslim dan kumpulan sasaran sahaja.

"Surat rasmi dan bebanan melalui media sosial telah dihantar kepada kumpulan sasaran program sahaja. Pihak kami menjemput Ibu Irene atas kapasiti beliau sebagai pendakwah Muslimah yang mempunyai pengetahuan tentang Kristologi untuk berkongsi ilmu serta pengalaman beliau.

"Sasaran program kami adalah pelajar-pelajar Muslim yang sedang mempelajari ilmu perbandingan agama dan pendakwah-pendakwah Muslim di Malaysia," katanya.

Poster tersebut memaparkan Ibu Irene akan membimbing peserta pada 9 dan 10 Disember ini dalam program "Mengenali Kristologi" dengan bayaran RM30 bagi pelajar manakala RM100 bagi orang awam.

"Kami memohon maaf sekiranya ada pihak yang tersinggung dengan poster iklan program kami ini," katanya.  

Beberapa hari sebelum ini tular bahawa Irene atau lebih dikenali sebagai Ibu Irene dijemput sekali lagi untuk mengendalikan sebuah program agama di Malaysia. Kerajaan Indonesia sebelum ini menafikan Ibu Irene adalah mantan rahib. 

Pada Mei 2014, satu seminar anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencetuskan kontroversi selepas memanggil Ibu Irene dan seorang lagi penceramah,  LS Mokoginta, juga dari Indonesia. 

Kedua-dua dipanggil memberikan ceramah berkaitan Kristologi. Bagaimanapun, semakan The Malaysian Insight bersama Bishops Conference of Indonesia (BCI) menafikan Irene seorang penganut Katolik dan Rahib.

Poster ditarik balik

Sementara itu, Kuis mengarahkan penganjur program "Mengenali Kristologi" menarik semula hebahan poster kerana ia tidak memohon permit daripada pihak berkuasa, kata Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi program tersebut.

"Sehingga petang semalam, tiada permohonan program bersama daripada pihak penganjur dengan Kuis.

"Dan mengikut prosedur, ia perlu mendapatkan juga kelulusan daripada Mais. Saya dimaklumkan Kuis telah memohon penganjur turunkan banner," katanya kepada The Malaysian Insight.  

Sementara itu, Rektor Kuis, Prof Dr Abdul Halim Tamuri berkata pihak universiti tidak terlibat sebagai penganjur dan hanya menyewakan tempat untuk program tersebut.

Sekiranya, penganjur gagal mendapatkan kelulusan, program berkenaan tidak boleh diteruskan.

"Kuis bukan penganjur. NGO tersebut menyewa tempat. Ia perlu dapatkan kelulusan. Jika tidak ada kelulusan, ia tidak dibenarkan (menjalankan program)," kata Halim kepada The Malaysian Insight. – 24 November, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Poster Diubah, 'Mantan Rahib' Masih Akan Beri Ceramah" yang ditulis oleh Yasmin Ramlan bertarikh 24 November 2017)