Ahad, 25 Mac 2018

7 Ditahan Rancang Serang Rumah Ibadat Bukan Islam, Bunuh Polis


Ketua polis negara berkata, suspek itu termasuk juruteknik, pengawal keselamatan, pelayan kafe dan tukang cuci di negara jiran.

KUALA LUMPUR: Enam lelaki warga tempatan antara 7 individu yang ditahan dipercayai terlibat dalam rancangan melancarkan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam, menculik serta membunuh anggota polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua lelaki itu ditahan Bahagian Menentang Terrorisme Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi 27 Februari hingga 15 Mac lepas.

Menurutnya, 2 lelaki berusia 49 dan 30 tahun ditahan di Johor pada 27 Februari lepas. Mereka merancang melarikan diri ke sebuah negara jiran dan mendapat perlindungan daripada kumpulan pengganas negara itu selepas melancarkan serangan.

Katanya, suspek pertama ialah juruteknik sebuah syarikat swasta dan merupakan perancang utama serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam di Johor Bahru, selain aktif merekrut anggota baharu kumpulan pengganas dalam kalangan rakyat tempatan.

“Suspek ke-2 bekerja sebagai pengawal keselamatan yang berperanan sebagai penasihat bagi sel berkenaan. Suspek bertindak memastikan anggota sel menjaga kerahsiaan semua aktiviti mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, suspek turut mengeluarkan arahan bunuh kepada mana-mana anggota sel yang membocorkan rahsia mereka.

Suspek ke-3 ialah pengawal keselamatan berusia 30 tahun yang berperanan menguruskan pembelian senjata api dari sebuah negara jiran, selain melakukan tinjauan ke atas rumah ibadat bukan Islam di sekitar Johor Bahru untuk dijadikan sasaran.

Susulan itu, operasi yang dijalankan pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu membawa kepada tangkapan 3 lagi lelaki daripada sel sama di Johor.

Suspek ke-4 ialah pelayan kafe berusia 25 tahun yang menerima arahan daripada suspek pertama dan ke-3 untuk menculik serta membunuh anggota polis.

Dua lagi suspek yang bekerja sebagai tukang cuci di Singapura turut ditahan pada 1 Mac lepas.

“Suspek berusia 23 tahun bertindak sebagai orang perantaraan dalam urusan jual beli senjata api. Manakala seorang lagi suspek berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Sementara itu, Fuzi berkata, seorang lelaki warga Filipina dipercayai pakar peranti peledak yang diperbaiki (IED) berusia 31 tahun, ditahan di Sabah.

Menurutnya, suspek itu turut disenaraikan orang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana terlibat dalam kes penculikan untuk tebusan (KFR) dan beberapa siri percubaan membunuh, selain merancang melancarkan serangan di Sabah dan menjadikan negeri itu sebagai tempat persembunyian bagi anggota pengganas dari Filipina.

Katanya, suspek itu ialah anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan anggota kanan kepada Furuji Indama (Ketua kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Basilan, selatan Filipina).

Beliau berkata, lelaki itu turut mempunyai hubungan dengan rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS di selatan Filipina, Dr Mahmud Ahmad.

“Semua suspek yang ditangkap itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).”

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "7 Ditahan Rancang Serang Rumah Ibadat Bukan Islam, Bunuh Polis" bertarikh 24 Mac 2018)