INKUIRI SUHAKAM | Isteri Amri Che Mat - aktivis yang
hilang dua tahun lalu - memohon kerajaan agar memberi perlindungan kepada
anggota Pasukan Khas (SB) yang didakwa memberitahunya pasukan itu terlibat dalam kehilangan suaminya.
Dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam)
hari ini, Norhayati Mohd Ariffin pada mulanya tidak terlalu memikirkan
keselamatan anggota itu yang bernama Shamzaini Mohd Daud, dan memutuskan untuk
mendedahkan apa yang diberitahu Shamzaini yang didakwa ke rumahnya di Kangar
pada 12 Mei lalu.
Namun, katanya, dia kemudian sedar tindakan itu akan
mendatangkan bahaya kepada Shamzaini dan berharap anggota polis itu diberi
perlindungan agar tidak menerima sebarang tekanan.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Norhayati berkata
perlindungan itu perlu agar Shamzaini tidak ditekan untuk mengubah
kenyataannya.
"Saya sangat berharap pihak berkuasa akan memberi
perlindungan kepadanya...Apabila dia berani bercakap sudah tentu dia akan
diberi tekanan apabila semua tahu (rahsianya). Mungkin dia tak akan bercakap
dengan betul lagi (ekoran ditekan).
"Jadi saya sangat berharap dia akan dilindungi agar dia
dapat bercakap perkara yang betul," katanya.
Beliau juga berkata telah menyampaikan permintaan itu kepada
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui seorang pembantunya.
Dalam satu kenyataan pada 16 Mei lalu, Norhayati mendakwa
dia dikunjungi Shamzaini yang mendedahkan perkara itu, selain mendakwa pasukan
sama juga menculik paderi Raymond Koh Februari tahun lalu.
Dia juga berkata telah emmbuat laporan polis di Ibu Pejabat
Polis (IPD) Shah Alam. Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, SAC Datuk Asmawati
Ahmad mengesahkan laporan polis itu dan berkata siasatan sedang dijalankan.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Isteri Amri Che Mat Mahu Polis Pemberi Maklumat Diberi Perlindungan" yang ditulis oleh Koh Jun Lin bertarikh 30 Mei 2018)