Rabu, 16 Mei 2018

Isteri Dakwa Amri Diculik SB, Mahu Polis Siasat


Isteri Amri Che Mat - aktivis yang hilang dua tahun lalu mendakwa suaminya telah diculik oleh pasukan Cawangan Khas (SB) dari Bukit Aman pada 24 November 2016.

Norhayati Mohd Ariffin mendakwa pasukan cawangan khas berkenaan adalah pasukan sama yang menculik paderi Raymond Koh pada 13 Februari tahun lepas.

Beliau berkata perkara itu didedahkan kepadanya pada malam 12 Mei lalu ketika seorang pegawai polis datang ke rumahnya di Kangar. Pegawai itu juga menunjukkan kad polisnya ketika diminta pengesahan.

"Pada 15hb Mei 2018, saya membuat laporan polis dan merekod kenyataan mengenai perkara ini di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam.

"Saya sudahpun memberi pihak polis maklumat lanjut mengenai pegawai-pegawai lain yang disebut, termasuk juga nama pegawai polis yang menyampaikan maklumat ini kepada saya.

"Saya merayu dan menggesa pihak polis menyiasat dengan segera dakwaan-dakwaan serius ini dan cari sampai jumpa suami saya Amri Che Mat dan juga Pastor Raymond Koh dan pulangkan mereka kepada keluarga tersayang mereka secepat mungkin.

"Saya juga menggesa pihak polis supaya bekerjasama dengan siasatan SUHAKAM menegakkan kebenaran dan kejujuran dalam Inkuiri kes Amri Che Mat yang berlangsung sekarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan sedang menunggu maklum balas.

Portal ini tidak dapat menyiarkan nama pegawai polis berkenaan yang dikatakan mengarahkan operasi untuk menculik Amri sementara menunggu penjelasannya.

Malaysiakini juga melihat salinan laporan polis yang dibuat Norhayati dan telah menghubungi OCPD Shah Alam Baharuddin Mat Taib untuk mengetahui kebenarannya.

Terdahulu, bekas pemandu Uber, Lam Chang Nam, 32, didakwa kerana menculik Koh dan memeras ugut anaknya.

Suhakam menjalankan siasatan awam untuk menyiasat sama ada kes kehilangan Koh, Amri, Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu, adalah 'kehilangan paksa atau tidak disengajakan' seperti yang ditakrifkan oleh Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).

ICPPED telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2006. Malaysia bagaimanapun bukan penandatangan ICPPED.

Bagaimanapun, Suhakam terpaksa mennggantung siasatannya terhadap kes kehilangan Koh selepas Lam didakwa, sementara inkuiri mengenai kes lain masih dijalankan.

Ini kerana Seksyen 12 (2) Akta Suhakam 1999 melarang suruhanjaya itu menjalankan inkuiri terhadap kes yang dibawa ke mahkamah.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Isteri Dakwa Amri Diculik SB, Mahu Polis Siasat" brtarikh 16 Mei 2018)