Rabu, 16 Mei 2018

Isteri Amri Dakwa Suaminya Dan Pastor Koh Dicekup Pasukan Polis Sama


PETALING JAYA: Isteri aktivis yang hilang, Amri Che Mat hari ini mendakwa beliau diberitahu oleh seorang pemberi maklumat polis bahawa suaminya diambil pasukan dari Bukit Aman yang juga bertanggungjawab atas kehilangan Pastor Raymond Koh.

Norhayati Mohd Ariffin berkata pegawai polis itu datang ke rumahnya di Kangar pada malam 12 Mei, dan menunjukkan Mykad dan kad polisnya kepada beliau dan anak perempuannya apabila diminta membuktikan identiti.

“Beliau mendakwa dia tahu siapa yang ambil Amri. Beliau mendakwa suami saya diambil oleh satu pasukan pegawai polis dari Bukit Aman,” katanya, yang menamakan seorang pegawai tinggi dalam Bahagian Extremis Sosial, Cawangan Khas Bukit Aman.

“Bila saya tanya mengapa Amri diambil, pegawai ini mendakwa kerana ‘Syiah dan Forex (tukaran matawang asing)’,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut anggota polis itu, kata Norhayati, pasukan polis di Perlis memantau gerak geri Amri sebelum suaminya hilang.

“Dia mendakwa pasukan ini diketuai oleh pegawai Cawangan Khas ASP Razman yang telah hantar maklumat risikan dari pantauan ini kepada Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata pegawai itu juga mendakwa pasukan yang mengambil Amri adalah terdiri daripada orang-orang sama yang dilihat mencekup Koh pada 13 Februari tahun lepas.

“Bila saya tanya mengapa, dia mendakwa kerana kononnya Pastor Raymond ‘memurtadkan orang Muslim’.”

Norhayati berkata beliau membuat laporan polis dan merekodkan keterangan mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam semalam.

Beliau juga memberitahu maklumat lengkap kepada polis mengenai pegawai lain yang disebutkan, termasuk nama pemberi maklumat polis yang bercakap dengannya.

Penculikan Koh tahun lepas dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV), menunjukkan beberapa lelaki bertopeng menggunakan SUV hitam yang menahan keretanya di siang hari. Koh tidak dilihat lagi sejak itu.

Polis sebelum ini menafikan bertanggungjawab atas kehilangannya, tetapi menangkap seorang lelaki berusia 31 tahun yang kemudian didakwa atas kesalahan menculik Koh. Tuduhan itu bermakna siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap kehilangan Koh tidak dapat diteruskan.

Pendengaran Suhakam terhadap kes Amri diteruskan pagi ini, dengan pegawai polis Kangar, Inspektor Khor Yi Shuen, dijangka memberi keterangannya.

Ia juga menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth. Pasangan itu kali terakhir dilihat pada 30 November 2016.

Amri, yang juga pengasas Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016. Isteri beliau sebelum ini berkata 5 kenderaan menyekat keretanya sebelum beliau dibawa pergi kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Antara saksi yang disoal siasat ialah Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, berikutan lawatannya ke rumah Amri yang diiringi polis dan pegawai dari Jabatan Mufti.

Asri berkata beliau ke rumah Amri untuk menyiasat “aduan” terhadap kecenderungan Amri terhadap Syiah, aliran yang dilabel “sesat” oleh pihak berkuasa Islam di Malaysia. Tetapi mufti itu menafikan sebarang penglibatan dengan kehilangan Amri.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Isteri Amri Dakwa Suaminya Dan Pastor Koh Dicekup Pasukan Polis Sama" bertaikrh 16 Mei 2018)