Menteri Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong |
PUTRAJAYA menggesa pihak polis melihat kembali kes
kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga aktivis sejak 2016.
Tiga aktivis yang hilang ialah Amri Che Mat serta Pastor
Joshua dan isterinya, Ruth Hilmy.
Menteri Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri,
Liew Vui Keong berkata Putrajaya mengarahkan pihak polis menyiasat kes itu.
“Arahan sudah diberikan kepada pihak polis untuk melihatnya.
Saya sendiri tidak dapat menerima kehilangan rakyat kita sendiri tanpa dapat
dikesan.
“Kita tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka, sama ada
hidup atau mati. Kita bertanggungjawab kepada ahli keluarga, untuk memberitahu
mereka sebagai kerajaan baharu,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur
hari ini.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sedang
menjalankan siasatan awam terhadap kehilangan empat individu itu untuk
menentukan sama ada ia kes kehilangan melibatkan pihak berkuasa.
Apabila ditanya sama ada kertas siasatan akan dibuka semula,
Liew berkata beliau menyerahkannya kepada pihak polis.
“Siasatan perlu dilakukan dan kami serahkan kepada pihak
polis. Kami mahu mengetahui apa yang sedang berlaku.”
Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh 15 individu
menaiki tiga SUV hitam. Penculikan, yang berlaku pada siang hari, seolah-olah
sudah diselaras dengan baik.
Amri hilang pada malam 24 November di Padang Behor, Perlis
dan Hilmy, paderi keturunan Melayu, dan isterinya Ruth, hilang pada 30 November
2016. – 30 Julai, 2018.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Putrajaya Arah Polis Siasat Kehilangan Paderi, 3 Aktivis" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 30 Julai 2018)
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Putrajaya Arah Polis Siasat Kehilangan Paderi, 3 Aktivis" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 30 Julai 2018)