Isnin, 2 Julai 2018

Terima Kasih Tuhan Kata Akinfeev

Akinfeev cemerlang menyelamatkan dua penalti - Foto/AFP

MOSCOW: Wira sepakan penalti penentuan Russia, Igor Akinfeev berterima kasih kepada Tuhan, tuah dan penyokong di Stadium Luzhniki selepas pasukannya mengejutkan Sepanyol untuk mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1970.

“Pada separuh masa kedua, kami cuba bertahan. Kami mengharapkan penalti dan itulah yang terjadi.

“Terima kasih kepada Tuhan,” katanya sejurus membantu Russia memenangi perlawanan itu 4-3 selepas mereka terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit.

Akinfeev menyelamatkan sepakan penalti Koke dan Iago Aspas sementara empat pemain Russia berjaya menyempurnakan penalti masing-masing.

“Terima kasih Tuhan, kami cukup bertuah,” kata penjaga gol itu.


Dianugerahkan dengan trofi penaja sebagai pemain terbaik perlawanan, Akinfeev mengakui kehadiran seramai 78,000 penyokong di stadium itu turut menjadi motivasi kepada mereka.

“Saya bukan pemain terbaik perlawanan. Pemain terbaik perlawanan adalah pasukan ini dan juga penyokong.

“Kami mengharungi kempen Piala Dunia yang menakjubkan.”

Keputusan itu menyaksikan tuan rumah memenangi sepakan penalti penentuan buat kali kelima berturut-turut, menurut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ia juga kali kesembilan Sepanyol gagal menewaskan tuan rumah Piala Dunia atau Kejuaraan Eropah yang menyaksikan mereka tewas lapan kali termasuk empat aksi di Piala Dunia dan kali terakhir tewas menerusi sepakan penalti penentuan di tangan Korea Selatan pada 2002.

(Diambil daripada artikel Harian Metro bertajuk, "Terima Kasih Tuhan Kata Akinfeev" bertarikh 2 Julai 2018)