AHLI Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman telah
memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan kenyataan dalam kempen
pilihan rayanya bahawa Kristian telah mengambil alih Putrajaya, kata menteri
kabinet yang bertanggunjawab ke atas hal ehwal Islam hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa
berkata, Tajuddin perlu ingat YDPA adalah pemerintah Malaysia dan pelindung
agama Islam menurut Perlembagaan Persekutuan.
“Beliau sebenarnya telah memperkecilkan Agong dengan
mengatakan Kristian telah mengambil alih Putrajaya,” kata Mujahid.
Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam itu
mengulas mengenai kenyataan Tajuddin semalam ketika berkempen di Kampung Jawa
pada pilihan raya kecil Sungai Kandis di Selangor.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga merujuk
kepada video yang tular menunjukkan paderi Kristian meraikan kejayaan
Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke 14 baru-baru ini.
Tajuddin turut merujuk kepada pelantikan ahli politik yang
katanya beragama Kristian — Lim Guan Eng, Anthony Loke dan Hannah Yeoh — ke
dalam kabinet.
Beliau mendakwa pemimpin berkenaan menggunakan kedudukan
mereka untuk menyebarkan agama Kristian.
“Nama-nama yang saya sebut ini mereka ini pengembang agama
Kristian. Mereka ini pengembang agama Kristian.
“Kita kena waspada. Dalam dia berpolitik, dia menggunakan
platform politik untuk mengembang, menyebar agama Kristian,” dakwanya ketika
berkempen di Sg Kandis.
Loke bagaimanapun tidak mengamalkan ajaran Kristian.
Mujahid berkata, komen berkenaan adalah tipikal Umno, dan
menambah “wajah perkauman” parti itu semakin jelas.
“Perkauman dan agama boleh menjadi bahaya apabila ia menjadi
satu-satnya isu yang mendominasi parti. Mereka akan gunakan isu ini sebagai
jalan terakhir.
“Ia amat sensitif kepada masyarakat umum, terutamanya bila
melibatkan pengundi,” katanya yang juga naib presiden Amanah.
Tajuddin sebaliknya perlu cuba menyakinkan masarakat bahawa
Umno mampu membawa perubahan daripada menggunakan isu kaum dan agama.
“PH tidak akan gunakan ia sebagai alat. Kerana yang pertama
- Kristian mengambil alih Putrajaya adalah dakwaan yang tidak berasas. Agong
masih pemerintah dan pelindung agama Islam.”
Kedua kata Mujahid, rakyat mengundi PH bukan kerana mereka
mahu Kristian mengambil alih, tetapi kerana mereka bencikan Umno dan
penyelewengannya.
Mujahid bercakap kepada pemberita selepas mengadakan
pertemuan dengan Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM) di
sebuah hotel di Gurney Drive, di mana kumpulan berkenaan membangkitkan beberapa
perkara melibatkan komuniti itu dan masjid mereka. – 4 Ogos, 2018
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Dakwaan Umno 'Kristian Ambil Alih Putrajaya', Perkecilkan Agong, Kata Mujahid" yang ditulis oleh Looi Sue-Chern bertarih 4 Ogos 2018)