PEMIMPIN Umno, Tajuddin Rahman diberi masa 24 jam untuk
menarik balik dakwaan yang DAP mempunyai agenda Kristian di Putrajaya, kata
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.
“Jika Tajuddin enggan dan memilih untuk terus berdegil
menyebarkan penipuan politik tentang DAP, saya tidak ada pilihan kecuali
meminta pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya,” kata pemimpin DAP itu
dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata Umno perlu mengambil tindakan displin ke atas
Tajuddin yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno kerana menggalakkan politik
perkauman dan agama berdasarkan penipuan.
Tambahnya, Tajuddin yang juga ahli Parlimen Pasir Salak itu
perlu membuktikan dakwaanya terhadap kerajaan Pakatan Harapan, Perdana Menteri
Dr Mahathir Mohamad, DAP dan penganut Kristian.
Beliau merujuk kepada kenyataan Tajuddin yang dibuat pada
kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis minggu lepas apabila beliau memberikan
amaran kepada pengundi yang kerajaan PH diterajui DAP dan Kristian mahu
menghapuskan institusi diraja Melayu dan menubuhkan republik.
Bercakap kepada pengundi Melayu di Kampung Jawa, Sungai
Kandis, Tajuddin memberi amaran kepada orang Melayu yang “Kristian sudah
mengambil alih Putrajaya dan negeri.”
Dakwanya, pemimpin DAP menggunakan kedudukan mereka dalam
kerajaan untuk menyebarkan agenda Kristian. Beliau malah menamakan beberapa
orang pemimpin DAP dalam kerajaan sebagai mubaligh Kristian.
Lim menimbulkan fakta yang Barisan Nasional kalah 14
daripada 19 pusat daerah mengundi di Sungai Kandis, termasuklah di Kampung
Jawa, tempat ucapan kebencian itu dibuat.
Katanya, pengundi Malaysia, terutama orang Melayu sudah
matang dan rasional selepas gelombang politik seluruh negara pada 9 Mei lalu.
“Mesej dari PRK Sungai Kandis adalah Malaysia Baharu tidak
ada tempat untuk politik ketakutan, kebencian dan penipuan menggunakan kaum dan
agama selepas PRU14.
“Adakah Tajuddin berani membawa dakwaan sama ketika
berkempen di PRK Balakong dan Seri Setia akan datang,” kata Lim. – 6 Ogos,
2018.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Tajuddin Ada Masa 24 Jam Tarik Balik Dakwaan Agenda Kristian, Kata Wakil Rakyat DAP" bertarikh 6 Ogos 2018)