Sejak minggu lalu isu bangunan yang memaparkan lambang salib
di Pulau Pinang menjadi perdebatan hangat.
Ia kini dalam siasatan kerajaan negeri selepas Ketua
Penerangan PAS Nasrudin Hassan mendakwa syarikat pemaju terlibat dalam agenda
Kristianisasi memandangkan salah seorang pengasasnya dikaitkan dengan
pertubuhan Kristian yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Beliau juga mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon
Yeow dan pemaju Nova Mulia Development Sdn Bhd cuba mengelak isu itu dengan
mendakwa lampu yang dipasang memaparkan abjad Cina bermaksud ong (nasib
baik) dan bukannya salib.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy pula menggesa
pemaju agar lebih berhati-hati dan tidak membuat provokasi.
Hari ini Chow berkata kerajaan negeri akan mengarahkan
Majlis Bandaraya Pulau Pinang agar menyiasat perkara itu.
Bekas Pengerusi Kelab Penyokong PAS Hu Pang Chaw mengimbas
kembali satu lagi insiden berkenaan lambang itu melibatkan Allahyarham Nik
Abdul Aziz Nik Mat.
Bercakap dengan Malaysiakini, beliau berkata pejabat
Nik Aziz ketika menjadi menteri besar Kelantan terletak bertentangan dengan
Gereja Our Lady of Fatima of the Holy Rosary di Kota Bharu.
"Dulu saya bekerja di pejabat kerajaan negeri dari
tahun 2000 hingga 2004. Saya yang mengendalikan isu itu tetapi tidak ingat
secara tepat bila ia berlaku.
"Pada satu pagi, seorang anggota exco hubungi saya. Dia
beritahu saya yang Tok Guru (Nik Aziz) sedar lambang salib sudah tiada di
bumbung gereja dan mahu tahu apa yang berlaku.
"Exco itu kata Nik Aziz memberitahunya jika orang PAS
yang minta salib itu diturunkan, tolong letakkannya semula (di bumbung). Jadi
exco itu tanya saya apa yang terjadi," katanya.
Beliau berkata bekas mursyidul am PAS itu perlu melakukan
pusingan U di depan gereja itu untuk ke pejabatnya.
"Saya fikir dia mesti perasan yang salib itu sudah
tiada," katanya lagi.
Hu yang kini bersama Amanah - parti serpihan PAS - berkata
beliau kemudian bertanya kepada pihak gereja tentang perkara itu.
"Saya diberitahu salib itu diturunkan buat sementara
untuk kerja penambahbaikan kerana bumbung bocor dan akan dipasang semula
apabila kerja itu selesai."
Insiden itu juga disebut seorang bekas guru besar di
Kelantan, Jerome Jeremiah, dalam sebuah artikel yang diterbitkan semula di akhbar
Katolik, Herald, pada Mac 2015, sebulan selepas kematian Nik Aziz.
Dalam artikel bertajuk "The Tok Guru I Knew" (Tok
Guru yang saya kenali), Jeremiah berkata Nik Aziz memberitahu pihak gereja
bahawa pejabat menteri besar akan menanggung kos penambahbaikan.
Beliau juga berkata Nik Aziz ada bertanya sama ada
vandalisme menjadi punca kerosakan.
"Satu hari paderi terima panggilan daripada pejabat
menteri besar. Pegawai berkata Tuan Guru sedar salib di bumbung gereja sudah
tiada.
"Paderi berkata ia bukan kerana vandalisme. Salib itu
jatuh kerana ribut pada malam sebelumnya," katanya.
Artikel itu berkata lagi, selepas berbincang dengan Nik
Aziz, pegawai itu berkata: "Menteri besar mahu gereja gantikan salib dan
hantar bil ke pejabat menteri besar untuk pembayaran. Menteri besar merasakan
sebagai ketua kerajaan beliau bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku."
Pada April 2015, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail turut
menyebut kejadian itu. Dalam versinya, Wan Azizah berkata Nik Aziz melawat
gereja itu dan bertanya tentang salib yang hilang.
Menurut Wan Azizah, Nik Aziz kemudian diberitahu ia
diturunkan sementara kerja penambahbaikan berjalan.
"Beliau benar-benar ambil berat dan inilah Islam,"
kata Wan Azizah ketika itu.
Pada masa itu Wan Azizah mengulas tentang protes di Taman
Medan di Petaling Jaya di mana sekumpulan mendesak lambang salib di sebuah
bangunan gereja di situ diturunkan.
Seorang tokoh yang dihormati rakan dan lawan,
Nik Aziz meninggal pada tahun 2015 ketika berusia 84 tahun. Beliau berundur
dari jawatan menteri besar dua tahun sebelumnya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Kisah Nik Aziz dan Salib Yang Hilang" bertarikh 17 Januari 2019)