Isnin, 30 September 2019

Kami Akan Dedah Kebenaran, Sekolah Jawab Dakwaan Larang Bacaan Doa


GEORGE TOWN: Sekolah Perempuan Methodis (MGS) hari ini berkata pihaknya tidak akan mengulas mengenai dakwaan yang dibuat sebuah NGO yang mengatakan ia melarang bacaan doa pada satu majlis, sebaliknya membenarkan bacaan doa dalam bentuk Kristian.
Pengerusi lembaga gabenor sekolah, Kee Phaik Cheen, berkata pihaknya hanya akan mengulas apabila siasatan polis selesai.
“Saya berharap anda memahami bahawa terdapat siasatan sedang berlangsung dan selepas ia selesai, kami akan dedahkan fakta kepada anda. Kami tidak mahu mengganggu siasatan.
“Apabila siasatan selesai, kebenaran akan membersihkan kami,” katanya kepada FMT.
Laporan Polis Oleh Seorang Aktivis
Jumaat lalu, seorang aktivis yang juga ahli perniagaan berumur 42 tahun membuat laporan di Balai Polis Dato Keramat, mendakwa MGS membaca doa berbentuk Kristian sebelum menyanyikan lagu kebangsaan.
Lelaki itu mendakwa ia berlaku di Majlis Hari Kecemerlangan pelajar di Auditorium KDU pada pukul 8 pagi pada hari yang sama.
Dalam laporan polis yang dilihat FMT, lelaki tersebut mendakwa dia menerima maklumat daripada “beberapa orang tanpa nama” yang mendakwa sekolah itu melarangkan apa-apa bentuk bacaan doa menurut Islam.
Beliau berkata sekolah itu mempunyai 347 murid Islam dan 161 murid bukan Islam, serta 24 guru Islam dan 14 guru bukan Islam.
“(Dengan membaca doa Kristian), sekolah dan lembaga gabenornya cuba menyebarkan agama Kristian dalam majlis sekolah, yang bertentangan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Polis Memulakan Siasatan

Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dimulakan selepas polis menerima laporan berhubung insiden itu.
“Kes diterima pada 27 September, satu laporan polis diterima mendakwa beberapa individu hadir dalam satu majlis anugerah kecemerlangan di Sekolah Perempuan Methodis di Pulau Pinang yang menyatakan dalam majlis tersebut bacaan doa tidak dibenarkan.
Kementerian Pendidikan juga berkata ia mengeluarkan amaran tegas kepada MGS. Ketua Pengarah pendidikan Amin Senin berkata kementerian sedang mempertimbangkan tindakan disiplin terhadap sekolah tersebut kerana melanggar peraturan pendidikan negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy berkata kementerian perlu menyiasat dengan “cermat dan berhati-hati” berhubung isu itu.
“Adalah penting untuk menyiasat hingga ke akar umbi isu ini, dan bukannya membiarkan iklim politik perkauman dan ekstremisme agama semasa menentukan tindakan yang sesuai,” kata Ramasamy yang juga pengerusi jawatankuasa pendidikan.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kami Akan Dedah Kebenaran, Sekolah Jawab Dakwaan Larang Bacaan Doa" yang ditulis oleh Predeep Nambiar bertarikh 30 September 2019)