Isnin, 30 September 2019

Polis Siasat Sekolah Larang Bacaan Doa



Polis menyiasat tindakan sebuah sekolah di Pulau Pinang yang didakwa melarang bacaan doa.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata kes itu disiasat bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

“Satu kes isu larangan bacaan doa di sekolah Pulau Pinang, kita sudah dapat satu laporan polis oleh beberapa individu yang hadir mengatakan bahawa dalam majlis tersebut baca doa tidak dibenarkan tetapi doa di dalam bentuk Kristian diadakan.

“Kami sudah terima laporan dan disiasat bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat tmengapi-apikan mana-mana pihak melakukan kesalahan kepada pihak lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Dr Amin Senin memberikan amaran keras kepada Sekolah Kebangsaan Methodist di Pulau Pinang dan sebuah sekolah di Perak yang menganjurkan kursus Pendidikan Seni Visual (PSV) dalam bahasa Cina sepenuhnya.

Dr Amin Senin berkata pihaknya maklum kedua-dua isu yang tular itu dan sedang mempertimbang mengambil tindakan tatatertib jika perlu.

Beliau berkata semua pentadbir sekolah perlu mematuhi Akta Pendidikan dan surat-surat siaran kementerian, Akta Pendidikan 1996 dan Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 yang menetapkan mata pelajaran Pendidikan Seni adalah dalam bahasa kebangsaan.

Sekolah Kebangsaan Methodist di Pulau Pinang ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas berkaitan itu situ.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Polis Siasat Sekolah Larang Bacaan Doa" bertarikh 30 September 2019)