Jumaat, 8 November 2019

Adakah Orang-Orang Kristian Akan Menyembah Tuhan Siang Dan Malam, 24 Jam Tanpa Henti Di Syurga?


Seorang kawan menimbulkan soalan dalam kumpulan Facebook. Soalannya seperti ini: 

"Seorang hamba Tuhan katakan bahawa apabila orang Kristian masuk ke syurga, kita akan menyembah Tuhan siang dan malam. Dalam erti kata lain, kerja kita hanya menyembah dan memuji Tuhan 24 jam sehari? Kalau begitu keadaannya, bukankah kita akan menjadi bosan, dan boleh juga jadi gila, sebab bukan hanya tiga bulan tapi selamanya di situ."

Apakah pandangan anda?

Jawapan saya untuk soalan ini:

Setahu saya ada satu saja ayat yang berkaitan tentang penyembahan "siang dan malam" di syurga. Saya percaya hamba Tuhan tersebut telah merujuk kepada ayat Wahyu 4:8 iaitu:

Dan keempat makhluk itu masing-masing bersayap enam, sekelilingnya dan di sebelah dalamnya penuh dengan mata, dan dengan tidak berhenti-hentinya mereka berseru siang dan malam: "Kudus, kudus, kuduslah Tuhan Allah, Yang Mahakuasa, yang sudah ada dan yang ada dan yang akan datang."

Ayat itu menyatakan mengenai 4 mahkluk yang bersayap yang memuji dan menyembah Tuhan siang dan malam di syurga. Tetapi adakah itu bererti semua orang Kristian juga akan menyembah Tuhan siang dan malam, 24 jam tanpa henti di syurga?

Pertamanya, kita perlu jelas bahawa ayat itu merujuk khusus kepada 4 malaikat itu, tetapi tidak semestinya merangkumi semua orang Kristian di syurga. Yang keduanya, apakah yang dimaksudkan dalam Alkitab apabila dikatakan "siang dan malam"?

Kalau kita perhatikan, apabila Alkitab mengatakan mengenai "siang dan malam" dalam Alkitab, ianya tidak semestinya bererti 24 jam sehari seperti yang kita manusia modern fikirkan. Contohnya seperti dalam ayat-ayat Yosua 1:8 dan Mazmur 1:2;

Janganlah engkau lupa memperkatakan kitab Taurat ini, tetapi renungkanlah itu siang dan malam, supaya engkau bertindak hati-hati sesuai dengan segala yang tertulis di dalamnya, sebab dengan demikian perjalananmu akan berhasil dan engkau akan beruntung. (Yosua 1:8)
"... yang kesukaannya ialah Taurat TUHAN, dan yang merenungkan Taurat itu siang dan malam."

Apabila orang-orang Israel membaca itu, mereka tidak fikirkan 24 jam sehari. Mereka tidak fikir bahawa mereka harus tanpa henti 24 jam sehari merenungkan Taurat Tuhan. 

"Siang dan malam" itu adalah bahasa kiasan yang bererti "sentiasa". Contoh: Isteri saya suka muzik, dia akan pasang lagu siang dan malam. (Itu bererti dia sentiasa pasang lagu, hakikatnya dia tidak pasang lagu 24 jam, mahupun 12 jam!). Apabila seseorang suka sangat sesuatu hal, dia akan melakukannya siang dan malam, tapi itu bukan bererti dia tak henti langsung 24 jam melakukannya!

"Siang dan malam" itu bahasa kiasan, bukan literal... Dalam Bahasa Malaysia pun kita akan faham ini.

Jadi, adakah aktiviti lain di syurga? Pasti saja! Sebagai contoh baca saja Yesaya 11:6:

Serigala akan tinggal bersama domba dan macan tutul akan berbaring di samping kambing. Anak lembu dan anak singa akan makan rumput bersama-sama, dan seorang anak kecil akan menggiringnya.