KUCHING: Kerajaan Sarawak membantu Borneo Evangelical
Mission (BEM) dalam merealisasikan impian mereka untuk memiliki pusat dan
tempat ibadah sendiri.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,
untuk itu kerajaan negeri memberi tanah seluas 2.8 ekar di Taman Desa Wira bagi
membina Pusat Komuniti dan Rumah Ibadah BEM.
"Kerajaan negeri melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama
Lain (UNIFOR) di bawah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas
sedia membantu BEM untuk membina pusat ini.
"Inilah dasar di bawah pentadbiran saya yang mana
UNIFOR ini ditubuhkan dengan kerjasama badan-badan agama lain untuk memahami
dan memenuhi keperluan sekali gus membantu antara satu sama lain,"
katanya.
Lukisan arkitek: Pusat Komuniti dan Rumah Ibadah BEM di Kuching |
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan
malam sempena Pelancaran Projek Pusat Komuniti dan Rumah Ibadah BEM, Taman Desa
Wira di Pusat Konvensyen Penview (PPC), Demak di sini malam Ahad.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan, jika hendak maju ke
hadapan, perlu ada kesatuan yang menghubungkan setiap lapisan masyarakat
meskipun berbilang kaum dan agama.
"Saya ingin menyentuh pentingnya perpaduan dan setiap
agama mengajar kita untuk menjadi seorang yang baik.
"Jika kita berpegang kepada kebaikan ini, semua orang
akan mengikutinya dan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan hormat
menghormati," tambahnya.
Menurutnya lagi, Sarawak amat beruntung kerana rakyatnya
sudah lama hidup dengan mengamalkan sikap toleransi yang tinggi antara satu
sama lain.
"Kita hidup bersama, kita hormat menghormati antara
satu sama lain, inilah suasana hidup yang amat baik, biarlah kita rakyat
Sarawak menjadi contoh negeri perpaduan di Malaysia," ujarnya.
Lukisan artis - Pusat Komuniti dan Rumah Ibadah BEM di Kuching |
Difahamkan, pusat dijangka siap pada 2022 tersebut akan
memberi manfaat kepada ahli BEM di sekitar Kuching dan kawasan
berdekatan.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Pengerusi BEM Sarawak, Reverend Dato Dr. Justin Wan; dan
Pengerusi penganjur, Elder Thomas Harold Jacques.
(Dipetik daripada artikel Utusan Borneo bertajuk, "Impian BEM Miliki Bangunan Sendiri Tercapai" bertarikh 25 November 2019)