Selasa, 19 November 2019

Isteri Amri Che Mat Saman Kerajaan, Menteri, 2 Bekas IGP



Isteri aktivis hilang Amri Che Mat, menyaman kerajaan, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan pendahulunya Zahid Hamidi serta dua bekas ketua polis negara - Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun.

Norhayati Mohd Ariffin memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Kesemua 21 orang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu

Peguam cara Norhayati, Larissa Ann Louis berkata Norhayati menuntut pelbagai relif, termasuk ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk untuk kerugian yang dia alami akibat tindakan polis.

“Penderitaan dan cubaan ke atas Norhayati dan anak-anaknya telah menjadi lebih teruk lagi kerana apa yang kami nampak sebagai kecuaian dan salah laku pihak berkuasa dalam siasatan kes ini,” kata Louis.

Pada 3 April, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membentangkan laporan hasil 18 bulan inkuiri berhubung kes kehilangan individu.

Laporan itu membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas (SB) terlibat dalam kehilangan paksa membabitkan pastor Raymond Koh yang diculik pada 2017 dan juga Amri pada 2016.

Dalam inkuiri kes Amri sebelum ini, pihak polis memberitahu membuat pemantauan terhadap Amri berhubung tuduhan menyebarkan ajaran Syiah tidak menemui bukti menyokong dakwaan tersebut.

Peguam bela kepada Norhayati, Surendra Ananth juga berkata ganti rugi am itu dilakukan kerana kesengsaraan dari segi mental yang dihadapi oleh Norhayati sekeluarga dan kerugian berikutan kehilangan Amri, memandangkan beliau pencari nafkah dalam keluarga mereka.

Menurut Norhayati, kehilangan Amri sejak 24 November 2016 itu jelas mencerminkan bahawa PDRM gagal untuk menyiasat kehilangan suaminya.

“Kegagalan berterusan PDRM untuk menjalankan siasatan yang sewajarnya pada bulan-bulan berikutnya boleh dikata telah memperkukuhkan lagi konspirasi senyap yang melindungi penculik-penculik dan menyembunyikan nasib dan keberadaan Amri,” katanya.


(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Isteri Amri Che Mat Saman Kerajaan, Menteri, 2 Bekas IGP" bertarikh 18 November 2019)