Jumaat, 29 November 2019

Mengapa dan Bagaimana New Creation Membeli Mall Star Vista


Ramai orang telah mendengar berita gereja mega Singapura, New Creation Church membeli mall Star Vista dengan harga S$295 juta di republik itu baru-baru ini.

Mengapakah gereja itu ingin membeli mall itu, dan bagaimanakah ianya mampu melakukannya?

Beginilah kisahnya...

Permulaan Gereja New Creation

1983 - Gereja New Creation dimulakan di sebuah rumah pangsa Housing Board berbilik empat di Holland Drive, Singapura.

1990 - Joseph Prince dilantik menjadi pastor senior New Creation pada 1990. Keanggotaan pada waktu itu berjumlah 150 orang.

1999 - Gereja menggunakan pelbagai tempat ibadah seperti dewan di Young Women's Christian Association dan di hotel-hotel untuk mengadakan ibadah di antara 1984 dan 1999. Pada tahun 1999, gereja berpindah ke Rock Auditorium di Suntec City Mall.

Joseph Prince telah melayani New Creation Church sebagai pastor senior sejak 1990

Mencari Tapak Untuk Membina

2006 - New Creation bertumbuh dengan pesat dari 3,800 ke 12,900 anggota dari tahun 1999 ke 2006 sewaktu mengadakan kebaktian di Rock Auditorium di Suntec City Mall. Pertumbuhan pesat itu telah menyebabkan New Creation berusaha mencari tanah untuk membina ruangan yang lebih luas untuk mengadakan ibadahnya. 

2007 - Cabang perniagaan gereja itu, Rock Productions telah mengenal pasti tapak yang sesuai dan pada September 2007 telah berjaya memenangi tender untuk membina, memajak dan menguruskan pembangunan bersepadu di Buona Vista.

Star Vista dibina berdekatan stesen MRT Buona Vista

Membina Bersama CapitaLand

Tapak itu berdekatan dengan stesen MRT Buona Vista di One North, sebuah kawasan komersial dan kediaman baharu. Oleh kerana peraturan zon oleh kerajaan yang mensyaratkan pembinaan harus memberi kemudahan transit membeli-belah kepada orang ramai, Rock Productions telah mendapatkan kerjasama syarikat pemaju CapitaLand untuk sama-sama membina Star Vista.

CapitaLand akan membina dan memiliki ruangan mallnya manakala Rock Productions akan membina dan memiliki Performance Art Centre dalam projek Star Vista itu. Arkitek Andrew Bromberg dari syarikat antarabangsa Aedas dilantik untuk mencipta reka bentuk bangunan itu.

Star Vista telah direka bantuk oleh arkitek Andrew Bromberg

Mencipta Rekod Pungutan Dana

2008 - Pada April 2008, New Creation membuat kempen mengumpul dana dalam sehari di kalangan jemaatnya yang mencipta rekod sebanyak S$18 juta. Pada tahun berikutnya, kempen sehari yang sama telah memecah rekod dengan mencapai pungutan sebanyak S$18.8 juta. Pada tahun 2010, kempen pungutan dana seharinya memecah rekod lagi dengan mencapai S$21.1 juta.

Star Vista Siap Dibina

2012 - Star Vista telah siap dibina dan mallnya dibuka kepada awam pada 17 September 2012. New Creation mengadakan kebaktian pertamanya di Star Performing Arts Centre (PAC), yang boleh memuatkan 5,000 tempat duduk, pada 23 Disember 2012.


Ruangan komersial Star Vista yang merangkumi tiga tingkat (tingkat B1, 1 dan 2) dibina dan dimiliki oleh CapitaLand, manakala Star Performing Arts Centre (PAC) yang merangkumi tingkat 3 hingga 11 dibina dan dimiliki oleh New Creation.


2014 - Akhbar Straits Times melaporkan anggota New Creation sudah berjumlah 31,000 orang.

Selesai Membayar S$500 Juta Untuk PAC

2016 - Pada Februari 2016, New Creation telah selesai membayar sepenuhnya S$500 juta untuk pembinaan dan pemilikan Star Performance Arts Centre, lebih kurang sembilan tahun selepas memperolehi tender itu. Pembayaran itu kebanyakannya dari "dana yang datang dari pemberian sukarela jemaat kami kepada gereja dan untuk bangunan ini," kata New Creation.

2018 - New Creation terus menjadi tajuk berita apabila mendapat sumbangan S$122 juta dalam 2018 sahaja, menjadikannya pengumpul dana kedua paling besar di Singapura (di belakang National University of Singapore). Straits Times melaporkan New Creation memiliki dana dan simpanan berjumlah sebanyak S$633 juta. 

Performing Arts Centre (PAC) yang boleh memuatkan 5,000 tempat duduk

Membeli Mall Star Vista Dari CapitaLand

2019 - Pada bulan November 2019, New Creation mengumumkan telah membeli ruangan mall dari CapitaLand pada harga S$295 juta. Pembelian itu terjadi selepas New Creation mendapat tahu bahawa CapitaLand sudah memulakan proses perbincangan dengan beberapa pihak untuk menjual mall Star Vista.

Pengerusi majlis New Creation, Diaken Yong Chee Ram, berkata gereja tidak ingin ketidaktentuan ruangan itu beralih kepada pembeli lain, oleh kerana PAC juga digunakan sebagai tempat ibadah bagi New Creation pada hari-hari ibadah. 

"Oleh kerana The Star Vista dan The Star PAC adalah berkait rapat tanpa dapat dipisahkan, matlamat segera kami... adalah untuk melindungi kepentingan gereja dan memelihara pengalaman baik untuk semua orang yang mengunjungi Star PAC," katanya.

Kawasan mall Star Vista

New Creation menambah bahawa sesuai dengan garis panduan penggunaan zon, ruangan komersial Star Vista akan dikekalkan, dan gereja sedang meneroka kemungkinan untuk CapitaLand terus menjalankan dan menguruskan mall itu bagi pihaknya.

New Creation mengumumkan tidak akan menjalankan kempen mengumpul dana untuk pembelian terbaharu ini. Sementara itu, CapitaLand mengumumkan penyerahan mall kepada New Creation dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada penghujung tahun ini. 

Wartawan Straits Times, Goh Yan Han sempat menemuramah beberapa anggota New Creation dan mendapat maklum balas positif mereka terhadap pembelian Star Vista oleh gereja.

Itulah kisahnya mengapa dan bagaimana New Creation Church telah membeli mall Star Vista di Singapura. 



(Sumber: Straits Times, 28 Februari 2016 dan 21 November 2019; Architect Magazine, 20 May 2013, dan Wikipedia)