Selasa, 10 Disember 2019

Reinhard Bonnke, Penginjil Yang Digelar "Billy Graham Afrika" Meninggal Dunia Pada Usia 79 Tahun


Penginjil Jerman, Reinhard Bonnke, yang mana rapat-rapat umum penginjilannya telah mencipta rekod dan menyebabkannya digelar "Billy Graham Afrika" telah meninggal dunia pada Sabtu lepas pada usia 79 tahun. 

Pelayanannya, Christ for All Nations (CfaN), mendakwa bahawa lebih daripada 79 juta orang telah datang kepada Kristus hasil dari karier Bonnke, yang bermula dari 1967 sehingga persaraannya pada 2017. Penginjil Pentakosta itu menyampaikan mesej yang disertai doa mengenai kuasa transformasi Kristus pada waktu yang sama mengadakan mukjizat dan penyembuhan.

"Mereka yang mengenalinya di luar pentas akan bersaksi mengenai integriti peribadinya, kebaikan hatinya yang tulen, kasih yang melimpah untuk Tuhan," kata penggantinya, penginjil CfaN, Daniel Kolenda. "Pelayanannya diilhamkan dan diteruskan oleh kehidupan doanya yang kuat, pengertiannya yang mendalam akan Firman, dan keintimannya yang tidak terhenti dengan Roh Kudus."

Christianity Today telah melaporkan mengenai acara paling ramai dihadiri, di mana 1.6 juta orang berhimpun pada satu malam di Lagos, Nigeria pada tahun 2000. CT memaparkan Bonnke dan pelayanannya pada tahun berikutnya, menggelarkannya, "salah satu tokoh agama paling dikenali di benua itu." Ahli-ahli sejarah mengatakan bahawa tiada penginjil Barat yang pernah menghabiskan begitu banyak masa di selatan Sahara seperti Bonnke. 


Berikutan kematiannya, ramai orang Kristian Afrika menyampaikan takziah mereka di Twitter, mengatakan "Beristirahatlah dengan baik" dan "Afrika tidak akan melupakan kamu." Kerajaan Nigeria menyatakan bahawa Presiden Muhammadu Buhari, seorang Muslim, "menyertai dunia Kristian dalam meratapi seorang penginjil terkemuka, Reinhard Bonnke, 79, menggambarkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar bagi Nigeria, Afrika dan seluruh dunia."

Anak kepada seorang pastor, Bonnke telah merasakan panggilan untuk pergi ke Afrika semasa kanak-kanak lagi, seterusnya pergi mengikuti pengajian di sekolah Alkitab di Wales dan ditahbiskan dalam Gereja Pentakosta Jerman. Dia memimpin satu sidang jemaat di utara Jerman dan kemudian menjadi misionari di negara kecil Lesotho di selatan Afrika. Di situlah Roh Kudus memberikannya satu penglihatan benua Afrika "yang dibasuh dengan darah Yesus," yang telah membawa kepada pelayanan penginjilan besar-besarannya. 

"Billy Graham telah menginspirasikan saya secara peribadi," Bonnke menulis di Facebook setelah kematian Graham pada 2018, "apabila dia berkhutbah di sebuah khemah di Hamburg, Jerman, saya sentiasa rasa serasi dengannya."

Pastor senior Hillsong, Brian Houston telah menyebut Bonnke sebagai inspirasinya, mengatakan, "Saya suka cara keselamatan sebati dalam rohnya, samada dia di pentas berbicara kepada jutaan orang atau berbual-bual di sebalik tabir - Yesus sentiasa ada di bibirnya." 

Bonnke adalah pengarang 40 buku dan telah menulis dalam autobiogafinya pada 2009, Living a Life of Fire, "Saya masih hanya ada satu saja khutbah, Saya sampaikan Injil yang asas dan ringkas." 

Dia meninggal dunia di rumah, dikelilingi keluarga, dan meninggalkan isterinya. tiga anak, dan lapan cucunya. 

(Dipetik dan diterjemahkan dari artikel Christianity Today bertajuk, "Died: Reinhard Bonnke, Record-Setting Evangelist to Africa" yang ditulis oleh Kate Shellnutt bertarikh 7 Disember 2019)