Isnin, 17 Februari 2020

Kadar Penceraian Di Gereja Jauh Lebih Rendah Daripada Yang Disangka Orang


Sudah lama dipercayai bahawa separuh daripada perkahwinan di Amerika berakhir dengan penceraian dan masalah itu sama buruknya dalam Gereja berbanding dengan penduduk keseluruhan negara itu. 

Tetapi ketika penyelidik yang terlatih dari Harvard, Shaunti Feldhahn cuba mencari penyelidikan yang sebenar untuk membuktikan perkara itu, dia tidak dapat mencarinya. Itu telah memulakannya dalam perjalanan lapan tahun untuk mencari fakta yang sebenar. 

Kepercayaan yang Melemahkan Semangat

Penyelidik dan pengarang yang berpusat di Atlanta itu menyedari bahawa kepercayaan yang tersebar luas bahawa kegagalan perkahwinan adalah sama buruk dalam Gereja berbanding keseluruhan penduduk dunia boleh melemahkan semangat orang-orang Kristian dan boleh juga menyebabkan mereka mempersoalkan iman mereka. 

"Bagi seorang pastor, itu bermakna 'semua usaha-usaha saya tidak bermakna'" Feldhahn memberitahu CBN News. "Bagi seorang ahli biasa dalam gereja, akan ada suatu perasaan yang tidak nyata bahawa 'jika ini benar: jika dalam hal yang begitu penting seperti pernikahan, melakukan apa yang dikatakan Alkitab tidak mengubah apa-apa, apakah itu menunjukkan mengenai Alkitab?'"

Pastor Daniel Floyd dari Lifepoint Church, di Fredericksburg, Virginia telah melihat bagaimana ini telah membawa kesan kepada iman seseorang.

"Sebabnya adalah kadar penceraian 50 peratus dalam gereja sebenarnya hanya menunjukkan bahawa gereja tidak membawa apa-apa perbezaan kepada perkahwinan anda," Floyd menjelaskan. "Dan itu adalah satu dakwaan yang cukup kuat terhadap gereja," 

Ahli psikoterapi Kristian, Angel Davis berkata kepercayaan bahawa separuh daripada perkahwinan akan gagal boleh memberi orang ramai keizinan untuk berputus asa dalam perkahwinan mereka.

"Apabila anda memiliki statistik seperti 50 peratus, itu memberi anda pilihan," dia memberitahu CBN News. "Ianya menjadi satu pilihan di dalam fikiran."

Berita Baik

Shaunti Feldhahn dan bukunya

Dalam bukunya, The Good News About Marriage, Feldhahn menyenaraikan apa yang ditemuinya semasa lapan tahun menyelidiki statistik yang rumit dan kompleks mengenai penceraian.

Pertamanya kadar penceraian jauh lebih rendah daripada 50 peratus dan jauh lebih rendah untuk mereka yang menghadiri gereja.

Feldhahn menganggarkan kadar penceraian secara keseluruhan untuk negara adalah kira-kira 31 peratus. Penyelidikan ke atas orang-orang yang selalu pergi ke gereja semuanya menunjukkan kadar penceraian yang jauh lebih rendah bagi mereka.

"Mungkin 15 peratus, mungkin 20 peratus untuk semua perkahwinan. Termasuk perkahwinan pertama, perkahwinan kedua, perkahwinan ketiga," Feldhahn menjelaskan.

Feldhahn mengisahkan satu contoh di mana seorang pastor telah menjejak 143 pasangan yang telah dikahwinkannya.

"Itu adalah 25, atau 27 tahun kemudian. Kurang daripada 10 peratus telah bercerai," dia menyatakan.

Feldhahn berharap fakta-fakta yang telah ditemuinya itu akan tersebar secara meluas.

"Pastor-pastor perlu mengetahui ini," katanya. "Orang perlu dapat melihat di sekeliling jemaat yang biasa dan mengatakan, 'Kau tahukah, kebanyakan daripada orang di sini akan memiliki perkahwinan yang kuat dan bahagia seumur hidup. Melakukan apa yang disuruh Tuhan adalah penting. Ini adalah suatu hal yang penting untuk kita ketahui."

Berkekalan Seumur Hidup

Jadi ke manakah kita sekarang? Pertamanya, pastor-pastor dan para kaunselor kini boleh menyatakan dengan keyakinan, perkahwinan itu masuk akal dan berkemungkinan akan berkekalan seumur hidup.

Untuk orang-orang percaya yang komited, jika mereka prihatin untuk mengamalkan iman mereka dengan pasangan mereka, mereka hampir boleh melipat gandakan kemungkinan mereka mengelakkan penceraian.

Pakar terapi Davis mengatakan ini akan mempunyai kesan besar memadamkan keraguan bahawa Kekristianan tidak membawa apa-apa perbezaan. "Bahawa tidak ada kuasa di dalamnya untuk mentransformasikan. Dan itu adalah tidak benar," dia menegaskan. "Jadi saya fikir statistik-stastik itu akan banyak menolong dengan kepercayaan itu."

Pastor Floyd percaya bahawa ini adalah peneguhan besar kepada iman apabila informasi baru ini mula tersebar.

"Jika anda sering ke gereja, itu akan menjadi faktor perbezaan dalam kepanjangan perkahwinan anda," katanya. "Saya fikir itu adalah senjata yang mengkagumkan, untuk gereja tempatan, dan untuk pastornya."

Perkahwinan Yang Kalis Cerai

Feldhahn memberitahu CBN News dia telah melihat secara peribadi kuasa informasi baru ini dengan serta-merta membangkitkan iman sesebuah jemaat.

"Anda mendengar suara terkejut dalam jemaat, dan semua orang mula bertepuk tangan, dan ianya seperti anda dapat melihat pengharapan kembali ke mata mereka," katanya.

Jeff, suami Shaunti, menjelaskan bahawa pengharapan ini amat penting untuk membantu sesuatu pasangan untuk bertahan.

Jeff dan Shaunti Feldhahn

"Saya dengan Shaunti pernah mengalami waktu-waktu sukar," dia mengakui. "Tetapi kami tidak pernah sekalipun berfikir bahawa kami tidak dapat melaluinya. Kami tahu bahawa kami akan mengatasinya. Jadi anda akan melalui waktu-waktu sukar itu dan anda meneruskan ke seberangnya. Dan yang di seberang itu selalunya baik."

Feldhahn menyatakan bahawa orang boleh membuat pilihan-pilihan lain untuk membuatkan perkahwinan mereka kalis cerai.

"Orang-orang yang membuat keputusan untuk tidak bersekedudukan sebelum nikah, itu telah terbukti mempunyai kesan yang amat bagus pada perkahwinan, " katanya sebagai contoh. "Jadi anda akan turun 5, 10 peratus kemungkinan bercerai."

Kini Feldhahn dan yang lain-lainnya berharap orang ramai akan menyebarkan berita ini.

"Untuk dapat menyampaikan informasi ini ke dalam tangan orang-orang lain dengan cepat," katanya. "Saya benar-benar berfikir bahawa kita boleh mengubah paradigma dari kekecewaan menjadi pengharapan."

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma News bertajuk, "Church Divorce Rate Way Lower Than Anyone Thought" yang ditulis oleh Paul Strang 23 Jun 2014)