PETALING JAYA: Saksi pertama dalam inkuiri awam Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat kehilangan pastor Joshua Hilmy dan
isterinya Ruth Sitepu berkata, pihak berkuasa agama mencari Joshua selepas
beliau menukar agama daripada Islam kepada Kristian.
Peter Pormannan yang merupakan ejen insurans dan rakan
Joshua, bagaimanapun menafikan pihak berkuasa agama mengugutnya.
“Dua tahun selepas saya berjumpa Joshua, dia memberitahu pihak
berkuasa agama sedang mencari dia.
“Dia kata ia berkaitan dengan apa yang dia percaya
(pertukaran agama) dan tentang pengalaman hidup.
“Joshua memberitahu saya kad pengenalannya menyatakan dia
seorang Islam dan mahu menukarnya kerana dia seorang Kristian,” katanya pada
hari pertama inkuiri awam hari ini.
Inkuiri itu yang dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam,
Hishamudin Yunus dan dibantu pesuruhjaya Jerald Joseph serta Madeline
Berma, dijangka berlangsung selama 14 hari mulai hari ini hingga 29 April
nanti.
Panel Inkuiri Umum Suhakam |
Joshua dan Ruth berkahwin pada Oktober 2004 dan kali
terakhir mereka dilihat pada 30 Nov 2016.
Sebelum ini, Suhakam turut mengadakan inkuiri awam berhubung
kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat yang
merumuskan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa.
Pormannan berkata, kali pertama beliau menemui Joshua dan
Ruth di Klang pada 2012.
Katanya, Joshua tiada tempat tinggal dan beliau menawarkan
pasangan itu tinggal di rumah mendiang ibu mertua di Kampung Jawa.
Mereka tinggal di Kampung Jawa kira-kira setahun. Sepanjang
tempoh itu, mereka sentiasa berhubung dan Joshua memberitahu Pormannan beliau
sudah menukar agama kepada Kristian.
Pormannan berkata, Joshua dan Ruth kemudiannya berpindah ke
Kampung Tunku di Petaling Jaya.
Katanya, pada hari pasangan itu hilang, Joshua runsing
selepas menerima satu panggilan di mana beliau memberitahu pemanggilnya: “Saya
tak ganggu awak, kenapa awak ganggu saya?”
Sementara itu, saksi kedua Grace Thangamalar berkata Joshua
dan Ruth memang terganggu selepas menerima panggilan itu.
Grace yang merupakan anak kepada saksi pertama berkata
mendapat maklumat itu selepas pernah tinggal bersama Joshua dan Ruth ketika
belajar di sebuah kolej pada tahun 2015 hingga 2017
Dia menceritakan sebab Joshua menawarkan tinggal bersamanya
disebabkan ayahnya pernah menolong memberi tempat tinggal semasa di Klang.
Dalam pada itu, Grace juga berkata polis juga pernah
mengambil kenyataannya selepas 4 tahun kehilangan Joshua dan Ruth.
Grace, 26 yang bekerja sebagai eksekutif logistik di Klang
juga berkata kejadian itu bukan satu-satunya gangguan yang dialami pasangan
suami isteri yang hilang itu.
Dia berkata Ruth pernah memberitahunya ada beberapa ancaman
yang diterimanya dan terpaksa keluar dari rumah itu dengan segera.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Saksi Beritahu Inkuiri Suhakam Joshua Dicari Pihak Berkuasa Agama" yang ditulis oleh Mohamad Fadli bertarikh 18 Februari 2020)