Selasa, 18 Februari 2020

Keluarga Harap Ruth, Pastor Joshua Ditemui Semula


KUALA LUMPUR: Adik kepada Ruth Sitepu yang hilang bersama suaminya, pastor Joshua Hilmy pada November 2016 berharap kakaknya ditemui semula.

Iman Setiawan Sitepu dan Ram Ram Elisabeth berkata mereka percaya kepada keadilan kerajaan dan semua agensi penguatkuasa akan menemui kakaknya dan Joshua.

“Pada satu masa, apa jua keadaan pun kami harap bertemu dia, harap sangat dia ditemukan kembali,” kata Iman selepas ditemui pada inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat kehilangan Joshua dan Ruth.

Iman berkata keluarga Ruth di Indonesia sangat merinduinya, lebih-lebih lagi selepas kehilangannya pada 2016.

Iman berkata beliau dan Ram berada di Malaysia sehingga esok dan tidak pasti lagi sama ada akan hadir pada inkuiri awam Suhakam pada Mac nanti.

“Kami semua keluarga sangat sayang dia. Pernah cuba hubungi, kali terakhir November 2016.

“Kami tak tahu kawan dia di sini. Saya adik paling kecil dan kami semua ada 8 adik-beradik. Ruth anak ke-4 dan Ram anak ke-5,” katanya.

Iman juga berkata hanya kakaknya dalam kalangan ahli keluarga yang tinggal di Malaysia dan tidak pernah mengadu jika beliau mempunyai sebarang masalah di Malaysia.

“Dia kata dia gembira dan tidak ada masalah,” katanya.

Joshua, individu Melayu-Islam yang memeluk agama Kristian, dan isteri beliau Ruth, dilihat kali terakhir pada 30 Nov 2016.

Inkuiri awam Suhakam menyiasat kehilangan Joshua dan Ruth bermula hari ini dan akan sambung pada 3 Mac nanti.

Setakat ini hanya 2 saksi dipanggil dalam inkuiri tersebut.

Sebelum ini, Suhakam turut mengadakan inkuiri awam berhubung kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat.

Panel inkuri terbabit merumuskan mereka merupakan mangsa kehilangan paksa.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Keluarga Harap Ruth, Pastor Joshua Ditemui Semula" yang ditulis oleh Mohamad Fadli bertarikh 18 Februari 2020)