INKUIRI SUHAKAM | Saksi kelima inkuiri kehilangan pasangan suami isteri Joshua
Hilmy dan Ruth Hilmy, hari ini membuat pendedahan mengejutkan berkenaan
'amaran' oleh anggota parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Saksi berkenaan, Selvakumar Peace John Harris berkata Khairy
pernah meminta Joshua meninggalkan negara ini susulan aktiviti pembaptisan yang
dilakukan paderi itu kepada beberapa pasangan Melayu beragama Islam pada tahun
2015.
Selvakumar yang merupakan pemilik rumah yang didiami
pasangan itu di Kampung Tunku memberitahu panel inkuiri bahawa Khairy
menghantar beberapa emel kepada Joshua dan antaranya menyebut: “lebih baik kamu
tinggalkan negara”.
Ditanya Hishamuddin kepada Selvakumar adakah Khairy
Jamaluddin yang dimaksudkan adalah bekas menteri belia dan sukan, Selvakumar
menjawab Ya.
Jelas Selvakumar yang merupakan seorang jurutera dan menetap
di Sungai Bakap Butterworth, Joshua menelefonnya pada Disember 2015 sebelum
menunjukkan bukti emel tersebut ketika paderi itu menziarahinya pada Mei 2016.
“Dia (Khairy) telah hantar emel kepada Joshua memberitahunya
tinggalkan negara. Dia ada telefon sebelum ini bertanyakan isu ini kepada saya.
“Saya percaya ini disebabkan pasangan Melayu yang Joshua
lakukan aktiviti pembaptisan pada Januari tahun 2015 tahun lalu,” katanya
semasa memberi keterangan kepada panel inkuiri di Ibu Pejabat Surahanjaya Hak
Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, Selvakumar turut mendakwa bukan cuma satu emel,
malah beberapa emel dihantar Khairy – yang pada ketika itu menteri belia dan
sukan- kepada Joshua.
Namun jelasnya emel tersebut lebih bersifat amaran.
Khairy Jamaluddin |
"Sebenarnya perbualan Khairy dengan Joshua bermula
dengan mesra dan berakhir dengan amaran," katanya.
Bagaimanapun, Selvakumar turut menjelaskan bahawa Joshua
tidak secara langsung menggunakan perkataan “amaran” namun itu adalah dakwaan
dia sendiri, memandangkan Joshua pernah memberitahunya bahawa dia berasa tidak
selamat.
Malaysiakini sedang menghubungi Khairy bagi mendapatkan
maklum balas berhubung dakwaan berkenaan.
Saksikan Joshua baptiskan 10 pasangan Melayu
Mengulas lanjut berkenaan aktiviti pembaptisan yang
dilakukan Joshua terhadap kedua pasangan Melayu –yang dinamakan sebagai Mirza
dan Alim, Selvakumar menjelaskan bahawa beliau turut menjadi saksi kejadian
tersebut.
“Pada Januari 2015, pasangan Melayu itu dikenali sebagai
Mirza dan Alim, keduanya telah dibaptiskan oleh Joshua dan dibawa ke bilik
mandi untuk “menyucikan diri” membaca mantera.
“Kemudian Joshua muat naik gambar pasangan itu di akaun
Facebook dan ramai orang tahu berkenaan isu tersebut.
Joshua Hilmy dan isterinya Ruth |
"Saya berada di situ bersama isteri dan anak-anak bagi
menyaksikan kejadian itu,” katanya lagi.
Tambah Selvakumar, beliau juga berkata Joshua telah
melakukan aktiviti pembaptisan terhadap seramai 10 pasangan Melayu sebelum ini.
Susulan pendedahan dilakukan Selvakumar, ramai panel inkuiri
turut terkejut dan mula bertanyakan soalan.
Antaranya, Ketua Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus
bertanyakan kepada Selvakumar adakah dia benar yakin Joshua melakukan
pembaptisan kepada kesemua Melayu yang beragama Islam.
Selvakumar, turut berkata bahawa dia yakin bahawa kesemua
pasangan Melayu itu adalah beragama Islam.
Selain itu, ditanya Hishamuddin kembali, apakah respons
Joshua setelah mendapat emel tersebut dari Khairy, Selvakumar memberitahu bahawa
Joshua meluahkan hasratnya untuk berpindah dari rumahnya di Kampung Tunku.
“Dia (Joshua) beritahu nak pindah dari rumah di Kampung
Tunku, dia tahu pihak berkuasa akan carinya dan bila dia beritahu Khairy telah
“mengugutnya”, dia tahu tidak selamat,” kata Selvakumar.
Untuk rekod, Selvakumar mengenali Joshua pada tahun 2014 di
Gereja St Mark Butterworth.
Satu laporan polis dibuat
Terdahulu, saksi ketiga Josiahnan dan Emmanuel Peter
menjelaskan bahawa pihaknya membuat laporan polis atas kehilangan dua individu
tersebut kerana bimbang mempunyai kaitan dengan kehilangan Paderi Kristian
Raymond Koh Keng Joo dan pekerja amal Amri Che Mat.
Tambah Josiahnandan, laporan polis itu dibuat pada tahun
2017 oleh ayahnya, Peter Pormannan Annamalai di Balai Polis Sungai Way,
Petaling Jaya.
Malah, saksi keempat dari NGO Kumpulan Tindakan Masyarakat
Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged), Ramanthan Manickam Ramasamy turut mendakwa
bahawa isu kehilangan pasangan itu sedikit sebanyak sama seperti Koh dan Amri.
Untuk rekod, Ruth memang merupakan seorang penganut Kristian
manakala suaminya, Joshua, memilih agama berkenaan selepas keluar daripada
Islam. Pasangan itu berkahwin pada 2004.
Menurut keluarga Ruth, wanita terbabit datang ke Malaysia
pada 2000 untuk bekerja sebagai tukang jahit dan ketika itulah dia bertemu
Joshua.
Tidak banyak yang diketahui mengenai kehilangan pasangan
tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat adalah pada 30 Nov 2016, dan
dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.
Inkuiri hari ini ditangguh pada 5 petang dan akan disambung
semula esok.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Saksi Dakwa KJ Pernah Beritahu Paderi Joshua Tinggalkan Negara" yang ditulis oleh Ramieza Wahid bertarikh 2 Mac 2020)