Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menafikan dirinya
mengenali Joshua Hilmy seperti didakwa seorang saksi dalam inkuiri Suhakam berhubung
kehilangan paderi berkenaan dan isterinya, Ruth Hilmy.
Menurut Khairy, saksi berkenaan, Selvakumar Peace John
Harris memaklumkan kepada inkuiri Suhakam bahawa beliau pernah menghantar
beberapa emel kepada Joshua termasuklah ‘memberi amaran’ kepadanya agar
meninggalkan negara ini.
"Saya menafikan segala tuduhan ini. Saya tidak pernah
secara peribadi mengenali Joshua Hilmy, Ruth Hilmy mahupun Selvakumar Peace
John Harris.
"Saya juga menafikan pernah menghantar apa-apa emel
seperti yang didakwa atau berhubung dengannya menerusi mana-mana medium
komunikasi.
"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Selvakumar Peace John
Harris adalah tidak benar sama sekali," kata Khairy dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Selvakumar mendakwa Khairy
mengeluarkan 'amaran' kepada Joshua agar meninggalkan negara ini susulan
aktiviti pembaptisan yang dilakukan paderi itu kepada beberapa pasangan Melayu
beragama Islam pada tahun 2015.
Selvakumar yang merupakan pemilik rumah yang didiami
pasangan itu di Kampung Tunku memberitahu panel inkuiri bahawa Khairy
menghantar beberapa emel kepada Joshua dan antaranya menyebut: “lebih baik kamu
tinggalkan negara”.
Bagaimanapun, Selvakumar turut menjelaskan bahawa Joshua
tidak secara langsung menggunakan perkataan “amaran” namun itu adalah dakwaan
dia sendiri, memandangkan Joshua pernah memberitahunya bahawa dia berasa tidak
selamat.
Ketika ditanya Pesuruhjaya Suhakam, Hishamudin Yunus apakah
respons Joshua setelah mendapat emel tersebut, Selvakumar mendakwa Joshua
meluahkan hasratnya untuk berpindah dari rumahnya di Kampung Tunku.
“Dia (Joshua) beritahu nak pindah dari rumah di Kampung
Tunku, dia tahu pihak berkuasa akan carinya dan bila dia beritahu Khairy telah
“mengugutnya”, dia tahu tidak selamat,” dakwa Selvakumar.
Joshua memeluk agama Kristian selepas keluar daripada agama
Islam dan berkahwin dengan Ruth pada 2004.
Menurut keluarga Ruth, wanita terbabit datang ke Malaysia
pada 2000 untuk bekerja sebagai tukang jahit dan ketika itulah dia bertemu
Joshua.
Tidak banyak diketahui mengenai kehilangan pasangan
tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat pada 30 Nov 2016, dan
dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Saya Tak Pernah Kenal Paderi Joshua Hilmy - Khairy" bertarikh 3 Mac 2020)