Ahad, 5 April 2020

Ulasan Buku: Seorang Gembala Melihat Pada Mazmur 23


Saya telah membeli buku ini sebagai sebahagian daripada "Trilogi Gembala" oleh W. Phillip Keller. Buku-buku yang lainnya adalah Seorang Gembala Melihat Pada Gembala Yang Baik dan Seorang Gembala Melihat Pada Anak Domba Allah. Keller adalah sebenarnya seorang gembala dan dia membantu kita memahami banyak petikan Alkitab yang menyebut mengenai Yesus sebagai Gembala yang Baik dan pengikut-pengikut-Nya sebagai domba-domba-Nya.

Keller membawa kita ke dalam dunia seorang penggembala domba dan membantu kita memahami lebih sepenuhnya kebenaran Alkitab. Dia menceritakan kepada kita kisah-kisah benar kehidupan untuk membantu kita memahami makna yang lebih mendalam analogi yang digunakan Alkitab berkaitan dengan gembala dan kawanan dombanya. Dalam Seorang Gembala Melihat Pada Mazmur 23, Keller meneliti ayat demi ayat mazmur Daud.


Bab 1: Tuhan Adalah Gembalaku - Keller memulakan bab ini dengan memperkatakan sedikit mengenai sifat Allah. Dia kemudian mengatakan tentang sifat Yesus sebagai Gembala yang Baik. Bahawa Yesus membebaskan kawanan dombanya daripada dosa mereka, diri mereka dan ketakutan mereka seperti seorang gembala yang baik yang mengasihi domba-dombanya.

Bab 2: Takkan Kekurangan Aku - Keller memulakan dengan menceritakan apakah maksudnya untuk "takkan kekurangan". Dia menceritakannya sebagai bukan sahaja tidak kekurangan tetapi juga meletakkan kepercayaan kepada gembala dan tidak menginginkan apa-apa yang melebihi apa yang disediakannya.

Bab 3: Ia Membaringkan Aku Di Padang Yang Berumput Hijau - Keller memulakan bab ini dengan menceritakan apakah yang diperlukan sebelum domba akan berbaring. Seekor domba tidak dapat berehat sehingga ianya bebas dari ketakutan, bebas dari isu dengan domba-domba lain dalam kawanan itu, bebas dari gangguan serangga dan bebas dari kelaparan. Gembala kita yang Baik menjaga semua keperluan ini.


Bab 4: Ia Membimbing Aku Ke Air Yang Tenang - Keller menyatakan bahawa gembalalah yang membimbing domba-domba kepada air. Keler meneruskan dengan mengaitkkan kedahagaan fizikal dengan kedahagaan rohani. Dia berkata ... "jiwa manusia mempunyai kemampuan dan keperluan untuk air daripada Roh Allah yang kekal."

Bab 5: Ia Menyegarkan Jiwaku - Keller menyamakan pemulihan jiwa kita dengan pemulihan domba-domba yang "terlantar". Seekor domba yang terlantar adalah domba yang telah terbaring terbalik dan tidak dapat bangkit sendiri. Jika gembala tidak sampai dalam waktu yang agak cepat, domba itu akan mati.

Keller mengaitkan "terlantar" ini dengan seorang Kristian yang terjatuh. "Ramai orang yang mempunyai pandangan bahawa apabila seorang anak Tuhan terjatuh, ketika dia dalam kekecewaan dan tidak tertolong dalam dilema kerohanian, Allah merasa jijik, bosan dan mahupun berang dengannya. Itu tidak benar. Salah satu pernyataan agung mengenai Allah yang disampaikan kepada kita oleh Yesus adalah Diri-Nya sebagai Gembala kita."

Keller kemudian mengatakan mengenai bagaimana domba-domba menjadi "terlantar" dan bagaimana itu berkaitan dengan hidup Kristian kita. Kita menjadi "terlantar" dalam kehidupan kita apabila kita 1) mengfokus kepada terlalu selesa dan nyaman, 2) apabila kita menjadi terlalu manja, 3) atau apabila kita menjadi sombong. Apabila hal-hal ini berlaku, Gembala yang Baik terpaksa mengambil tindakan memperbetulkan keadaan.


Bab 6: Ia Menuntun Aku Di Jalan Yang Benar Oleh Kerana Nama-Nya - Keller memberitahu kita bahawa domba-domba perlu dituntun untuk kebaikan mereka sendiri. Mereka akan mencemarkan dan merosakkan tanah-tanah mereka sendiri jika dibiarkan sendiri. Seorang gembala yang baik menguruskan domba-dombanya.

Keller kemudian meneruskan dengan membuat perbandingan di antara kita dengan domba. Ayat-ayat suci Alkitab tidak merujuk kepada kita sebagai domba secara kebetulan. Keller menjelaskan bahawa kita seperti domba adalah tegar leher, degil, secara tabiat dan bodoh mengikuti jalan-jalan salah yang sama.

Keller kemudian menjelaskan bagaimana dia fikir orang-orang percaya dapat dipimpin ke jalan-jalan yang baharu: 1) Rela mengasihi Allah dan orang-orang lain lebih daripada diri sendiri, 2) Rela diasingkan bagi Tuhan daripada hanya menjadi seorang pengikut, 3) Rela menyerahkan hak-hak kita untuk memberi tempat kepada hak-hak orang lain, 4) Rela untuk menjadi seorang pelayan, 5) Rela menerima segala keadaan hidup dengan bersyukur, 6) Rela menyerahkan kehendakku untuk mengikuti kehendak Allah, 7) Rela memilih mengikuti jalan Yesus.

(Klik di sini untuk sambungannya)

1     |     2     >


(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel blog Always Be Ready yang bertajuk, "A Shepherd Looks At the 23th Psalm By Phillip Keller - Review" yang ditulis oleh Bill bertarikh 11 Disember 2014)