Sabtu, 16 Mei 2020

SOP Buka Rumah Ibadat Dimuktamad Isnin Depan


PUTRAJAYA: Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan rumah ibadat semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dimuktamadkan pada Isnin ini.

Satu mesyuarat antara Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique bersama wakil badan agama diadakan secara dalam talian hari ini secara amnya membincangkan cadangan SOP yang dibangunkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut kenyataan KPN, wakil pelbagai agama seperti Buddha, Kristian, Hindu, Tao dan Sikh yang menyertai mesyuarat itu juga mengemukakan maklum balas serta cadangan senarai rumah ibadat terpilih dalam kawasan zon hijau kepada pihak KPN.

Halimah Mohamed Saddique,
Menteri Perpaduan Negara

Antara badan agama yang menyertai mesyuarat itu adalah Persekutuan Kristian Malaysia, Majlis Gurdwara Malaysia, Persatuan Penganut Buddha Malaysia, Persatuan Penganut Buddha Belia Malaysia dan Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia.

Turut serta ialah Persatuan Belia Kristian Malaysia, Fo Guang Shan Malaysia, Singapore, Thailand dan Indonesia; National Evangelical Christian Fellowship Malaysia, Malaysia Hindu Sanggam, Persatuan Mubaligh Buddha Malaysia dan Majlis Gereja-gereja Malaysia.

KPN memaklumkan mesyuarat susulan akan diadakan pada Isnin ini bagi memuktamadkan SOP berkenaan.

Menurut kenyataan KPN, Halimah akan membentangkan senarai rumah ibadat dalam zon hijau yang dibenarkan untuk dibuka semasa PKPB, termasuk SOP yang berkaitan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa (19 Mei).

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "SOP Buka Rumah Ibadat Dimuktamad Isnin Depan" bertarikh 16 Mei 2020)