Mark memberitahu Malaysiakini yang anak guamnya dihadapkan
ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya sekitar tengah hari ini untuk didakwa
semula dengan kesalahan sama.
Sebelum ini pada 20 Julai, Malaysiakini melaporkan
Lam berdepan kemungkinan didakwa semula berkaitan dua tuduhan - memeras dan
menculik- yang dikaitkan dengan pastor yang masih hilang itu.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Mahkamah Majistret Petaling
Jaya telah melepas tanpa membebaskan Lam atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Turut dilaporkan yang Lam telah memfailkan permohonan
semakan semula bagi mendapat pembebasan penuh terhadap dua tuduhan itu,
berbanding DNAA.
Mark berkata, Lam minta dibicarakan untuk pertuduhan sama,
di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, manakala pendakwaan akan dilakukan
oleh timbalan pendakwa raya P Vitiya Monisha.
Peguam itu menjelaskan bahawa tuduhan memeras dan menculik
mengandungi fakta yang sama ketika Lam dituduh dahulu.
“Kedua-dua pertuduhan dibacakan kepada tertuduh di hadapan
Majistret Nurshahira Abdul Salim, dan dia (Lam) minta dibicarakan.
“Tertuduh didakwa dengan set kesalahan yang sama di bawah
Seksyen 365 dan 385 Kanun Keseksaan,” kata Mark.
Seksyen 365 adalah berkenaan kesalahan menculik dan melarikan
seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan dengan salah.
Seksyen 385 pula berkaitan kesalahan mendatangkan kepada
seseorang ketakutan bencana dengan tujuan hendak melakukan pemerasan.
Mark berkata, mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan
dua penjamin dan menetapkan 21 September sebagai tarikh sebutan kes.
“Kami akan tarik balik permohonan semakan semula di Mahkamah
Tinggi (Shah Alam). Ini kerana permohonan itu sudah jadi akademik dan tak lagi
berguna (redundant),” kata Mark.
Malaysiakini dalam usaha menghubungi Jabatan Peguam
Negara (AGC) berhubung perkara itu.
Pada 15 Mac 2017, dilaporkan Lam didakwa di Mahkamah
Majistret Petaling Jaya atas tuduhan memeras RM30,000 dari anak lelaki Koh.
Koh diculik pada 13 Februari tahun itu.
Dilaporkan pada 16 Januari 2018, Lam dituduh di Mahkamah
Majistre Petaling Jaya atas tuduhan menculik Koh.
Pada 3 April tahun lepas, panel tiga orang Suhakam
merumuskan yang aktivis sosial Amri Che Mat dan Koh, yang hilang pada 2016 dan
2017, adalah mangsa dalam kehilangan paksa.
Panel sebulat suara merumuskan pelaku merupakan ahli Jabatan
Khas (SB) dari ibu pejabat polis Bukit Aman.
Pada 13 Februari, dilaporkan yang isteri Koh, Susanna Liew
menyaman polis dan kerajaan bagi memaksa mereka mendedahkan keberadaan pastor
berkenaan.