Khamis, 15 April 2021

KDN Akan Keluarkan Arahan Berhubung Penggunaan Kalimah Allah


Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan arahan pentadbiran berdasarkan akta yang ada di bawah kementerian itu berhubung penggunaan kalimah Allah.

Menterinya, Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kalangan bukan Islam.

Jelasnya arahan itu bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat berhubung penggunaan kalimah Allah.

"Arahan itu sesuatu yang dikeluarkan dari semasa ke semasa berbentuk pentadbiran yang dilakukan seperti biasa.

"Kalau isu dari segi mesin cetak kita guna akta yang ada.

"Supaya isu penggunaan kalimah Allah ini... pengunaannya di mana tempat (dibolehkan) supaya isu ini selesai, untuk beri kepastian serta pemahaan tentang pengunaan kalimah Allah," katanya pada sidang media selepas wacana meja bulat di Putrajaya, hari ini.

Hamzah berkata, wacana meja bulat hari ini membabitkan perbincangan dengan bukan Islam termasuk wakil agama Kristian, Hindu, Sikh termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Jelasnya perbincangan hari ini tidak membincangkan tentang keputusan yang telah dibuat mahkamah berhubung isu kalimah Allah.

Pada 15 Mac lalu, kerajaan dan KDN memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan.

Perkara itu disahkan Peguam Cara Negara, Abdul Razak Musa ketika dihubungi media.

Berdasarkan salinan notis rayuan yang diperoleh media, notis berkenaan difailkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan di Mahkamah Tinggi.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'solat'.

Dalam pada itu, Hamzah ketika ditanya mengenai arahan berkenaan sama ada ia bersifat garis panduan atau sebaliknya, berkata: "Ada perkara arahan ada perkara garis panduan."

Jelasnya, arahan berkenaan bertujuan untuk menamatkan polemik mengenai pengunaan kalimah Allah serta memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terpelihara.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "KDN Akan Keluarkan Arahan Berhubung Penggunaan Kalimah Allah" yang ditulis oleh Haspaizi Zain bertarikh 15 April 2021)