Selasa, 31 Ogos 2021

1 Dari 3 Gitar Baru Dibeli Untuk Muzik Pujian & Penyembahan

Kajian industri menyatakan bahawa band muzik pujian & penyembahan adalah pelanggan utama.

Fender Musical Instruments Corporation telah menjual angka rekod baru bilangan gitar pada 2020, terdorong sebahagiannya daripada orang-orang yang terpaksa duduk di rumah semasa pandemik. Syarikat itu menghitungkan hampir satu pertiga daripada peralatan baru muzik itu telah dibeli oleh orang-orang yang bermain dalam band pujian dan penyembahan.

Ini tidak menghairankan bagi sesiapa yang mengenali seorang pemimpin penyembahan.

"Pemimpin-pemimpin penyembahan sering menyatakan keinginan mereka untuk mendapatkan gitar baru," kata Adam Perez, seorang ahli pasca kedoktoran dalam kajian liturgi di Duke Divinity School. "Sering ada perbualan mengenai 'mendapat gitar yang lebih bagus' dan perbincangan mengenai jenis-jenis gitar. Untuk ramai pemimpin penyembahan, gitar adalah teman yang menandakan perjalanan mereka dan menandakan perkembangan mereka sebagai seorang pemimpin penyembahan yang tulen."  


Tiada orang tahu siapakah orang pertama yang telah membawa gitar ke gereja, tetapi ianya telah menjadi amalan biasa di kalangan gereja-gereja karismatik di California Selatan pada 1970an.

Muzik folk, rock, folk-rock memasuki gereja bersama anak-anak muda hippy yang telah diselamatkan semasa gerakan Jesus People, dan gitar menjadi alat yang paling biasa digunakan dalam ibadah gaya gereja Calvary Chapel dan Vineyard sebelum berkembang ke gereja-gereja evangelikal yang lain. 

Gaya itu menandakan keterbukaan dan ketulenan kepada generasi baby boomer kulit putih yang telah membesar dalam zaman Beatles, tetapi gitar juga memiliki beberapa kelebihan yang praktikal, menurut Perez. Gitar adalah mudah alih. Apabila gereja baru dimulakan di sebuah sekolah atau di rumah seseorang, atau mahupun di pantai, tidak lagi perlu diangkut piano ke situ. Gitar juga lebih mudah dipelajari berbanding piano dan organ yang digunakan secara tradisi dalam muzik gereja. 

"Orang akan bergurau mengenai bagaimana mudahnya - tiga kord atau empat kord - tetapi itu adalah kekuatan, bukan kelemahan," kata Perez. "Kita boleh dapatkan seorang yang baru belajar untuk memimpin dalalm kelompok kecilnya, kelompok selnya, mahupun dalam sebuah gereja baru. Ini membuka laluan saksama untuk pelayanan ibadah."

Muzik penyembahan pada 2020an bukanlah semuanya berasaskan gitar, tetapi pakar-pakar industri menganggarkan banyak wang telah dibelanjakan untuk gitar-gitar gereja. Menurut Ultimate Guitar, anggarannya sejuta pemain gitar bermain di gereja-gereja pada setiap hujung minggu, dan lebih ramai orang bermain muzik pujian dan penyembahan berbanding genre lain di Amerika Syarikat. 

(Diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk, "1 Out Of 3 New Guitars Are Purchased For Worship Music" yang ditulis oleh Daniel Silliman bertarikh 17 Ogos 2021)