Selasa, 26 Julai 2022

Kebangunan Rohani - Menara Jam ACS Tahun 1972


Untuk sekian lama, saya telah mendengar coretan kisah mengenai Kebangunan Rohani Menara Jam di Anglo-Chinese School (ACS) Barker pada 1970an, tetapi hanya mendengar secebis di sini dan secebis di sana. Dengan itu, apabila seorang kawan memberikan saya sebuah buku kecil, "Kisah Menara Jam: Permulaan Pembaharuan Karismatik di Singapura" (disunting oleh Michael Poon dan Malcolm Tan), ianya sangat mengujakan saya. Akhirnya! Di situlah kisah penuh apa yang terjadi di ACS bertahun-tahun yang lalu, ketika Roh Kudus turun ke atas sekumpulan anak-anak remaja, yang kehidupan mereka telah berubah dengan nyata, sehingga sebilangan dari mereka telah menjadi pastor di Gereja Methodis di Singapura.

Secara ringkasnya, Menara Jam ACS adalah tempat di mana kumpulan-kumpulan pelajar telah serigkali berkumpul untuk berdoa. Pada 1972, Roh Kudus telah bergerak di kalangan pelajar-pelajar itu "dengan cara yang dramatik... hasilnya sama dengan pengalaman para rasul pada Hari Pentakosta." Hampir 30 tahun kemudian, pelajar-pelajar itu menggambarkannya sebagai "suatu gerakan Tuhan", "pencurahan Roh Kudus", "baptisan Roh Kudus", dan "berbahasa roh". Ianya menjadi perkara heboh pada masa itu sehingga dua artikel diterbitkan dalam akhbar The Straits Times.

Oleh kerana saya telah pun memikirkan mengenai kebangunan rohani untuk sekian waktu, ini adalah beberapa buah fikiran saya sambil saya membaca kisah ini yang telah berlaku di Singapura hampir 40 tahun yang lalu. 

1. Suatu gerakan doa telah mendahului kebangunan rohani itu. Seperti yang diceritakan oleh Malcolm Tan, "Tidak dapat dinafikan ada suatu gerakan doa yang amat kuat sedang berlaku di sekolah ini sebelum pencurahan Roh Kudus. Dan jika anda berjalan di Bukit Barker Road pada ketika itu, anda akan melihat kumpulan-kumpulan budak lelaki - lima, tiga, empat - sedang berdoa saja di Gereja Methodis Barker Road. Bukan saja gereja itu dipenuhi orang, menara jam itu juga penuh dengan orang. Pelajar-pelajar lelaki itu berkumpul dan berdoa." 

2. Ada keazaman besar untuk berdoa, pelajar-pelajar itu menggunakan setiap kesempatan - pada waktu rehat, sebelum sekolah bermula, selepas waktu sekolah, untuk berseru kepada Tuhan. Saya percaya Tuhan tidak dapat menolak kelaparan dan kehausan mereka untuk-Nya. Seperti kata Noel Goh, "Pada 1971, kami telah mula berkumpul untuk berdoa, dan kami berdoa setiap waktu rehat. Setiap waktu rehat, kami akan berlari ke menara jam. Dan ketika kami mendengar loceng sekolah, kami akan mengatakan 'Amen' dengan cepat dan berlari balik ke bilik darjah. Jaraknya agak jauh dari bangunan Pra-U. Kami akan sempat saja sampai ke kelas dengan bersesak nafas."

"Kadangkala kami akan datang sebelum pukul tujuh untuk berdoa sebelum sekolah bermula. Jika kami tidak ada tugas pengawas, atau tugas-tugas lain, kadang-kadang kami akan tinggal selepas sekolah untuk berdoa. Saya ingat lagi kami gunakan garaj gereja. Kami mengangkat kerusi ke situ selepas sekolah dan akan berlutut berdoa di situ sehingga pukul empat atau lima, barulah kami akan balik."

3. Keadaan mestilah betul untuk pencurahan Roh Kudus. Ada orang-orang yang telah berkorban untuk menyediakan dasarnya, dan hanya mereka yang datang kemudian yang akan menikmati kepenuhan Tuhan. Kita mesti sentiasa menghargai mereka yang telah berjuang sebelum kita, sebab sesungguhnya, pencapaian mereka telah meletakkan dasar bagi kita. Kebangunan rohani terjadi apabila generasi berbeza menjadi satu. 

Malcolm Tan: "Saya kepingin anda dapat rasakan kehangatan rohani pada waktu-waktu silam ketika orang-orang seperti Noel Goh yang telah memimpin kami dalam Persekutuan Kristian. Mereka giat dalam hafalan ayat Alkitab, penginjilan peribadi dan doa. Dan mereka telah mempengaruhi kami dalam generasi yang lebih muda."

Tan Khian Seng: Rev Noel Goh adalah seperti Yohanes Pembaptis yang merintis jalannya dalam gerakan doa. Ketika dia tidak lagi ke menara jam apabila dia sudah tua sedikit, kami mengambil alih."

4. Jika pengalaman kami tidak selaras dengan Firman Tuhan, ianya bukan kerana Firman Tuhan salah. Pelajar-pelajar lelaki itu, yang datang dari latar belakang Methodis, tidak mengenal Roh Kudus, kerana telah berasal dari latar belakang yang lebih tradisional dan konservatif. Tetapi "mereka menyelidik ayat-ayat suci Alkitab" dan menjadi yakin bahawa baptisan Roh Kudus adalah betul dan benar. Dengan keyakinan itu, mereka mencari Tuhan, dan memohon jika ini adalah benar, bahawa Dia harus menjadikannya nyata dalam hidup mereka. Tuhan memberi respons-Nya sepertimana Dia akan lakukan. Saya suka iman yang ringkas seperti yang diucapkan oleh Tan Khong Chew, "Kami menyelidiki Alkitab, dan menerimanya seperti yang tertulis, dan menuntut janji-janji seperti yang Tuhan telah berikan kami. Kami mula melihat hal-hal terjadi dalam kehidupan kami." 

5. Gerakan-gerakan Tuhan yang benar boleh menghadapi penentangan yang kuat, dari dunia dan juga dari gereja. The Straits Times pada 7 November 1972 telah melaporkan bahawa "sesetengah pelajar yang telah mengambil bahagian dalam pertemuan keagamaan selepas sekolah telah berakhir dalam keadaan histeria atau khayal."

Ini tidak mengejutkan saya. Dunia tidak menafsir gereja, dunia hanya dapat menafsir dunia. Jadi apabila dunia menafsir gereja, adakah ianya suatu yang menghairankan apabila dunia mengutuk atau mempersendakan sesuatu yang tidak difahaminya? 

Tetapi apa yang membuat saya hairan adalah gereja juga mengutuk gerakan ini. Dalam laporan Straits Times pada 11 Nov, ianya dikatakan bahawa pemimpin-pemimpin gereja di empat gereja Potestan aliran tradisi telah menyamakan pembaharuan itu dengan "sebuah bidaah dengan amalan-amalan tidak sihat... masalahnya dengan anak-anak muda ialah mereka fikir bahawa ianya pengalaman yang hebat untuk berakhir dengan histeria."

6. Tuhan bekerja di sebalik tabir untuk memenuhi segala keperluan kita. Dia menyediakan jalannya terlebih dahulu, kerana mengetahui apa yang kita perlukan. Selepas kebangunan rohani menara jam, pihak berkuasa sekolah telah menyekat pertemuan pelajar-pelajar itu, sehingga kebanyakan waktu mereka hanya dapat berkumpul dengan kehadiran seorang guru. Seperti salah seorang pelajar itu katakan, "Oleh kerana kebanyakan guru-guru tidak rela bersama kami, kami tidak dapat berkumpul."

Yang lucunya ketika itu, Rev Hugh Baker, seorang pengkhutbah veteran Pentakosta, telah diambil tempatnya yang  cantik di Clemenceau Avenue dan dia dengan isterinya terpaksa berpindah ke Bukit Timah. Rev Baker berkata, "Saya dan isteri saya sedang berbincang mengenai perpindahan ini, dan kami berkata pastinya Tuhan akan melakukan sesuatu hal yang besar. Kami tidak tahu semua hal yang sedang terjadi di ACS pada waktu itu." Kerana pusat Rev Baker berdekatan dengan ACS, dialah yang membuka rumahnya kepada pelajar-pelajar itu, dan sering melayani mereka, mengajar mereka hal-hal mengenai Roh Kudus." 

7. Ps Melvin Huang: Kelaparan untuk Firman, kehausan untuk doa, dan keinginan untuk mengkhabarkan Injil adalah ciri utama kebangunan rohani ini.

8. Saya berpendapat bahawa renungan Rev Baker ini telah merumuskan dengan baik mengenai tempoh yang kurang diketahui tetapi hebat dalam sejarah di ACS, yang kemudian telah tersebar ke sekeliling Singapura melintasi denominasi-denominasi:

"Tidak ada apapun dalam diri kita yang layak untuk mendapatkan apapun daripada Tuhan. Tetapi Tuhan, dalam rahmat dan kasih kurnia-Nya melihat kelaparan hati kami dan saluran yang terbuka untuk gerakan Roh Kudus-Nya. Dan dia mula mencurahkan Roh-Nya ke dalam saluran itu dan itu mulai tersebar. Tuhan sedang mencari saluran. 

"Dia telah menemukan saluran di ACS. Dia menemukan saluran di Swiss Cottage. Dia menemukan saluran di Gereja Anglikan. Dia menemukan saluran di Gereja Methodis. Dia menemukan salauran di Gereja Katolik. Dia menemukan saluran di Gereja Baptis. Dan itu adalah mukjizat. Dia telah menemukan orang-orang yang rela menjadi saluran untuk gerakan Roh Kudus. Dan apabila gerakan itu terjadi, kami mulai menyentuh jiwa-jiwa. 

Akhirnya, saya suka doa ini seperti yang didoakan oleh Rev Baker.

"Bapa, inilah aku. Aku hanya ingin menjadi saluran yang Engkau dapat gunakan untuk mencetuskan kebangunan rohani yang bukan hanya akan tersebar ke sekeliling Singapura tetapi juga akan tersebar ke merata dunia. Dan dunia akan mengetahui kemuliaan, keagungan dan kuasa nama-Mu. Dan pengaliran Roh Kudus-Mu secara bebas akan menyatakan kepada dunia kuasa Kristus yang hidup. Terima kasih, Bapa, terima kasih, Bapa, terima kasih Bapa." 

(Diterjemahkan daripada artikel blog Musings of A Redeemed One bertajuk, "The ACS Clock Tower Revival of 1972" bertarikh 15 November 2011)