Selasa, 23 Ogos 2022

Selangkah Demi Selangkah, Setiap Langkah Bersama Yesus


Oleh: Si Domba Putih:

Bagaimanakah aku dapat melupakan malam itu?

Aku sedang berjalan ke arah gerai-gerai makan di kawasan Sabindo di Tawau. Aku berjalan melepasi kedai Top Shop dan sekarang di jalan yang sunyi di belakang kedai itu.

Aku mula melangkah menyeberangi jalan yang sunyi itu. Tiba-tiba aku merasakan hadirat Tuhan yang begitu nyata, dan mendengar kata-kata ini di hatiku, "Selangkah demi selangkah, Setiap langkah bersama Yesus." 

Aku tak sangka mendengar kata-kata itu, dan aku merasa damai dan sukacita serta-merta memenuhi seluruh hatiku. Aku telah mendapat kata-kata hikmat daripada Tuhan yang akan menjadi pedoman dalam hidupku.

Selangkah Demi Selangkah

Apabila aku mengimbas kembali hidupku, aku dapat melihat bagaimana Tuhan telah memimpinku selangkah demi selangkah. 

Mula-mulanya dalam bidang pekerjaan, kemudiannya dalam alam percintaan dan perkahwinan, kemudian lagi dalam bidang pelayanan. 

Aku mengaku aku seorang yang sering tergesa-gesa dalam kehidupan, tetapi kata-kata Tuhan pada malam itu mengingatkanku bahawa aku hanya perlu mengambil selangkah demi selangkah kerana Tuhan tahu masa yang terbaik dan akan memimpinku di setiap langkah kehidupan. 

Blog domba2domba

Satu contoh pimpinan khusus Tuhan dalam hidupku. Tuhan telah lama meletakkan impian dalam hatiku untuk menjadi penulis tetapi hal itu tidak pernah terjadi selama bertahun-tahun. Tiba-tiba pada suatu minggu April pada tahun 2011, aku terasa amat terbeban di hati untuk memulakan blog.

Aku pernah sekali-sekala membaca blog orang lain tapi aku sendiri tidak tahu apa-apa mengenai blog dan bagaimana untuk memulakan blog. Aku membuat pencarian di Google dan akhirnya membuat keputusan memulakan blog ini - domba2domba - pada 9 April 2011.

Aku menulis artikel permulaan yang pertama. Kemudian aku menulis artikel yang kedua dan ketiga. Sewaktu aku menulis artikel kedua atau ketiga itu, aku masih ingat duduk di meja dengan komputer di hadapanku, dan tiba-tiba merasakan suatu urapan Roh Kudus turun memenuhiku. Tiba-tiba aku tahu, inilah yang Tuhan mahu aku lakukan, untuk menjadi penulis bagi-Nya!

Blog Baharu - Kurnia2 Roh Kudus

Kini aku sudah menulis blog ini selama 11 tahun, dan dua tahun yang lepas memulakan sebuah blog yang baharu, "Kurnia2 Roh Kudus". Blog baharu ini lebih mencabar kerana ramai orang Kristian yang kurang memahami mengenai kurnia-kurnia Roh Kudus. Itulah juga sebabnya aku memulakan blog baharu ini, agar orang-orang Kristian akan lebih memahami kurnia-kurnia daripada Roh Kudus. Seperti Paulus katakan, dia tidak ingin kita kurang arif mengenai kurnia-kurnia rohani (1 Kor 12:1). 

Aku memohon saudara-saudaraku agar kamu akan terus berdoa untukku dan pelayanan ini sebab aku tahu bahawa aku perlukan penyertaan dan pertolongan Tuhan dalam setiap langkahku.

Ayuh, marilah kita melangkah bersama dengan Tuhan!

"Selangkah Demi Selangkah, Setiap Langkah Bersama Yesus!"