Soh Wooi Yik dan Aaron Chia menang beregu lelaki Kejohanan Badminton Dunia 2022 |
Kemenangan 21-19, 21-14 ke atas juara dunia tiga kali,
Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia akhirnya menamatkan badi beregu
utama lelaki negara, Aaron
Chia-Soh Wooi Yik, untuk menawan kejuaraan dunia pada Kejohanan Badminton
Dunia 2022, di Tokyo, pada Ahad.
Pencapaian itu menamatkan penantian 45 tahun peminat badminton tanah air untuk menyaksikan wakil negara meraih gelaran juara dunia, selain menjadi hadiah cukup istimewa kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan 2022 yang bakal disambut 31 Ogos ini.
Jurulatih Rexy Mainaky (kedua dari kiri) dan Tan Bin Shen berfoto dengan Soh Wooi Yik dan Aaron Chia |
"Kita dapat lihat betapa bagusnya Ahsan-Hendra bermain
mulai pusingan pertama hingga separuh akhir, malah mereka menguasai set pertama
hari ini. Saya memberitahu Aaron-Wooi Yik bahawa, dari segi kelajuan, mereka
lebih baik dan boleh mencabar Ahsan-Hendra, tetapi perlu membina keyakinan diri.
"Mereka hanya terus berjuang mata demi mata, sehingga
mereka mendapat peluang untuk mendahului dengan beberapa mata, di situlah
timbulnya keyakinan mereka untuk memenangi perlawanan,” kata Rexy dalam temu
bual dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas aksi final itu.
Kuasa besar badminton seperti Indonesia, China, Jepun,
Denmark dan Korea Selatan, malah Singapura, India dan Thailand telah melahirkan
juara dunia namun gelaran dunia kekal sukar untuk Malaysia sehingga Aaron-Wooi
Yik mencapai kejayaan hari ini.
Pasukan Beregu Malaysia, Aaron-Wooi Yik |
"Apabila menyentuh tahap mereka, kita tidak menumpukan
kepada kemahiran dan teknik kerana ia tidak banyak yang perlu diubah tetapi
kepercayaan dan keyakinan diri apabila berdepan dengan pemain utama. Jika
memiliki pemikiran seperti 'dengan kemahiran saya, saya boleh bersaing dengan
sesiapa sahaja.'
"Kemudian cuba kurangkan kesilapan dan pemikiran
negatif mereka. Cuma semua perkara ini perlu saya perbaiki...Jadi apabila semua
perkara ini dicantum, kemahiran itu akan terserlah,” tambahnya.
Mengulas kritikan yang dihadapi oleh pemain kerana sering
terkandas di peringkat separuh akhir, Rexy berkata, kritikan sebegitu
seharusnya hanya membina mentaliti yang kuat terutama pemain bertaraf dunia.
Ditanya tentang perasaannya apabila anak buahnya merangkul
kejuaraan, beliau menyifatkan, ia bagaikan amat teruja seperti seorang pesakit
terlantar dan tiba-tiba sembuh dan boleh berlari.
"Ucapan tahniah kerana menjadi pemain pertama Malaysia
merangkul kejuaraan. Saya sentiasa berpesan bahawa mereka hanya perlu bermain
untuk diri sendiri, keluarga dan negara.
"Saya bangga dengan pencapaian mereka dan bersyukur
kepada Tuhan kerana sepanjang minggu saya berdoa dengan memohon keberkatan
diberikan kepada pemain untuk membawa pulang gelaran pertama di pentas dunia
untuk Malaysia,” katanya. - Bernama
(Diambil daripada artikel Bernama bertajuk, "Strategi Berhasil, Beregu Negara Raih Gelaran Pertama Juara Dunia - Rexy" bertarikh 28 Ogos 2022)