Apakah pandangan anda jika sebuah gereja kecil yang memberi kepada sebuah gereja yang besar? Pelik bukan? Tetapi inilah yang telah terjadi di sebuah pekan kecil di Malaysia.
Pastor Jim (bukan nama sebenar sebab dia tidak ingin namanya diterbitkan) pada waktu itu menggembalakan sebuah gereja perintisan yang kecil di sebuah pekan di Malaysia.
Setelah gereja diasaskan, ada sekumpulan orang mulai beribadah di gereja itu. Walaupun belum ramai ahlinya, maklumlah gereja perintisan, pastor dan ahli-ahli gereja merasa gembira untuk memajukan gereja itu.
Tidak lama kemudian sesuatu salah faham telah berlaku dalam gereja, dan beberapa orang anggota pun meninggalkan gereja. Pastor Jim masih terus melayani dengan setia walaupun jumlah anggota sudah berkurangan.
Pada suatu hari, bendahari gereja memaklumkan pastor bahawa kewangan gereja tidak mencukupi untuk menyara semua perbelanjaan bulanan gereja. Ada beberapa bil termasuk bil eletrik juga tertunggak belum dibayar.
Melihat keadaan itu, Pastor Jim memberitahu bendahari untuk membayar dulu sewa bangunan dan bil-bil elektrik dan air, dan menahan dulu dari membayar gaji pastor buat sementara waktu.
Pastor Jim berkata, "Kalau kewangan gereja belum mencukupi, tak apalah biar gaji saya tidak diberikan untuk dua atau tiga bulan sehingga kewangan gereja pulih semula."
Pastor Jim juga perlu menyara keluarga, tetapi kerana kewangan gereja dalam keadaan tenat, dia menawarkan penyelesaian seperti itu kepada bendaharinya.
Tidak lama selepas keputusan itu dibuat, Pastor Jim telah mendengar suatu permintaan daripada sebuah gereja yang besar di pekan itu. Gereja besar itu telah membeli sebidang tanah dan sedang mengumpul dana untuk membina bangunan gereja yang baharu.
Pastor Jim tak pasti dari mana permintaan itu datang, mungkin daripada ahli gereja atau wakil gereja besar itu menanyakan samada gereja yang digembalakan oleh Pastor Jim dapat menyumbang kepada pembangunan gereja besar itu. Permintaan itu telah disampaikan kepada isteri Pastor Jim yang kemudian memaklumkan suaminya.
Pastor Jim terfikir di hatinya, "Gereja kami sekarang dalam keadaan amat memerlukan. Sebenarnya kami yang memerlukan sumbangan, bukannya memberi sumbangan!"
Namun begitu, Pastor Jim teringat akan kata-kata seorang pastor yang telah bercakap dengannya tidak berapa lama sebelum itu.
Kata-kata pastor itu begitu lantang dan jelas dalam ingatan Pastor Jim. Pastor itu telah berkata, "Ketika kita kekurangan, pada waktu itulah kita harus memberi. Sebab Tuhan berkata, 'Berilah dan kamu akan diberi."
Pada hari Ahad berikutnya, Pastor Jim berdiri di mimbar gereja untuk berkhutbah. Dia memberitahu ahli-ahli gereja mengenai permintaan daripada gereja besar itu. Dia juga memaklumkan kepada jemaat mengenai keadaan kewangan gereja yang kurang bagus pada waktu itu. Namun begitu, dia menggalakkan jemaat gereja dan berkata, "Kita harus memberi. Ketika kita dalam kekurangan, itulah waktunya untuk kita memberi, sebab Tuhan berkata, 'Berilah dan kamu akan diberi.'"
Selepas khutbah, suatu kutipan khas dilakukan di kalangan jemaat gereja untuk menyumbang kepada pembangunan gereja besar itu. Setelah dikira jumlahnya, didapati jemaat gereja telah menyumbangkan kira-kira RM180. Pastor Jim memberitahu bendahari gereja, "Kita tambah RM20 lagi dari dana gereja dan mencukupkan ke angka RM200 untuk menjadi sumbangan gereja kita kepada gereja itu."
Jadi Pastor Jim dan jemaat gerejanya bukan sekadar memberi sumbangan kepada gereja lain. Mereka telah mengambil langkah iman dan percaya bahawa Tuhan setia dan benar dalam apa yang dikatakan dalam Firman.
Beberapa hari kemudian, Pastor Jim telah dihubungi oleh seorang lelaki yang bukan anggota gereja itu dan yang tidak tahu-menahu mengenai keadaan kewangan gereja itu. Lelaki itu berkata kepada Pastor Jim, "Isteri saya ingin memberi sumbangan kepada gerejamu. Dia baru memulakan kerjaya baru sebagai ejen hartanah dan dia telah berjanji akan memberikan sumbangan kepada gereja apabila dia berjaya dalam urusniaganya yang pertama." Ternyata isteri lelaki itu telah berjaya dalam urusniaga pertamanya. Dan berapakah yang ingin disumbangkannya kepada gereja? Jumlahnya RM2,000.
Pastor Jim terkejut dan terkagum. Dia mengucap syukur di dalam hatinya.
Beberapa hari kemudian lelaki itu menelefon Pastor Jim lagi. Dia berkata, "Saya juga ingin menyumbang kepada gereja, iaitu jumlah yang sama dengan isteri saya."
Sekali lagi Pastor Jim terkejut dan terharu. Cek bernilai RM4,000 untuk gereja telah disampaikan kepada Pastor Jim beberapa hari kemudian.
Dengan sumbangan itu, semua hutang dan bil-bil yang tertunggak telah dapat dijelaskan. Sewa bangunan gereja dibayar. Gaji pastor juga dapat diberikan. Sejak waktu itu kewangan gereja itu pulih dan tidak lagi berkekurangan.
Pastor Jim hanya dapat berkata dengan terharu, "Gereja kami cuma memberikan jumlah yang kecil RM200 kepada gereja besar itu, tetapi Tuhan telah memberikan kami jauh lebih banyak sampai berlipat-lipat ganda"
Itulah yang terjadi ketika sebuah gereja kecil memberi kepada sebuah gereja besar!
“Berilah dan kamu akan diberi: suatu takaran yang baik, yang dipadatkan, yang digoncang dan yang tumpah ke luar akan dicurahkan ke dalam ribaanmu. Sebab ukuran yang kamu pakai untuk mengukur, akan diukurkan kepadamu” (Lukas 6:38)
- Si Domba Putih