Hakim Su Tiang Joo menyampaikan keputusannya hari ini, menyatakan dia tidak "mereka-reka jumlah itu" dan mengaitkan angka itu dengan keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kes penahanan salah.
Dia seterusnya menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM4 juta dan kos RM250,000.
Dia juga memerintah polis membuka semula siasatan kes dan melaporkan kemajuannya kepada peguam negara setiap dua bulan.
Dalam keputusannya, dia mendapati tindakan utama penculikan Koh menunjukkan penglibatan negara, dan bahawa keadaan di sebalik penculikan itu, serta penyembunyian maklumat dan persamaan dengan kehilangan Amri Che Mat, secara kumulatif menyokong kes plaintif.
“Kedudukan defendan yang mendakwa mereka tidak mengetahui pelaku sebenar adalah sukar diterima, terutamanya memandangkan mereka mempunyai kawalan terhadap sumber penyiasatan yang berkaitan.
“Kehilangan paksa Pastor Koh secara keseluruhannya merupakan satu bentuk penindasan pada tahap paling serius, dan oleh itu mahkamah berpuas hati bahawa plaintif telah membuktikan bahawa defendan telah menggunakan kuasa awam dengan niat jahat.
“Berdasarkan semua bukti, jelas bahawa penculikan itu melibatkan pihak berkaitan dengan negara, sama ada secara langsung atau tidak langsung, atau dengan pengetahuan, persetujuan, atau sokongan daripada mereka dalam struktur polis. Ketidakupayaan defendan untuk memberikan penjelasan alternatif yang kredibel mengukuhkan lagi kesimpulan ini,” katanya.
Su turut mendapati bahawa defendan gagal memberikan perkembangan maklumat yang konsisten dan bermakna kepada keluarga, walaupun mereka mempunyai akses kepada maklumat berkaitan.
“Setelah meneliti keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa satu atau lebih defendan telah bertindak secara bersama atau sebaliknya, secara langsung atau tidak langsung bertanggungjawab terhadap penculikan tersebut,”katanya.
Dia menambah bahawa pegawai polis diberikan kuasa paksaan, dan orang awam perlu diyakinkan bahawa jika kuasa tersebut disalah guna, ia akan diperbetulkan.
“Selepas meneliti dokumen, bukti yang dikemukakan, serta hujah peguam, mahkamah mendapati bahawa plaintif telah berjaya membuktikan kes mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian,” jelasnya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Kerajaan Diperintah Bayar RM10,000 Sehari Sehingga Pastor Koh Ditemui" bertarikh 5 November 2025)
