Pada malam tadi. saya menonton filem dokumentari mengenai Mesin Kod Enigma yang menjadi bahagian penting dalam Perang Dunia Kedua. Pihak Jerman yang menggunakan Mesin Enigma percaya mesin itu yang mencipta secara rambang kod rahsia dengan berbilion kemungkinan adalah mustahil dipecahkan kodnya.
Segala isyarat dan mesej arahan semasa peperangan telah disampaikan melalui mesin Enigma itu, termasuk koordinat kapal selam Jerman dan pergerakannya. Pada waktu itu kapal-kapal selam Jerman menguasai Lautan Atlantik dan berjaya menembak dan membenamkan banyak kapal-kapal Allies yang membawa makanan dan dan peralatan perang dari Amerika ke Britain. Britain pada waktu itu dalam bahaya kebuluran dan kekalahan dalam perperangan.
Pihak Britain menubuhkan pasukan khas untuk memecahkan kod Enigma di Bletchley Park di utara London sebagai usaha memecahkan kod Enigma itu. sesuatu yang dianggap sukar sekali. Akhirnya pasukan pemecah kod British berjaya dalam usaha mereka dan hasilnya pihak British dapat mengintip mesej-mesej sulit angkatan tentera Jerman sehingga mengubah haluan peperangan dari kekalahan ke arah kemenangan.
Pihak Jerman tidak menyangka langsung bahawa kod Enigma mereka telah dipecahkan oleh pihak British sehinggalah akhir Peperangan Dunia Kedua. Mereka mempunyai keyakinan tinggi sekali kepada mesin Enigma yang dianggap mustahil dipecahkan kodnya. Walaupun mereka telah tewas dalam beberapa pertempuran dan sebagainya, mereka hanya menyangka itu adalah kerana keupayaan radar British yang lebih baik sedangkan British sebenarnya telah mengintip mesej-mesej rahsia mereka,
Semasa menonton dokumentari ini, saya menyedari betapa pentingnya keupayaan British memecah kod rahsia Enigma dan mengintip mesej-mesej rahsia Jerman. Tanpa memiliki keupayaan memecah kod isyarat Jerman dan mengintip mesej-mesej Jerman, pihak British mungkin akan kalah dalam Peperangan Kedua.
Saya juga semakin menyedari betapa pentingnya bahasa roh dalam kehidupan saya. Pihak musuh kita (Iblis) tidak dapat memecahkan dan mengintip mesej-mesej rahsia yang dibawakan dalam bahasa roh kepada Tuhan. Oleh itu pihak Iblis tidak dapat membuat perancangan terhadap mesej-mesej rahsia itu.
Kadang-kala orang bertanya mengapakah Tuhan memberi kita bahasa roh. Saya percaya ini adalah salah satu daripada sebabnya, supaya mesej kita kekal rahsia dan tidak dapat dimengerti oleh musuh kita, Iblis.
Siapa yang berkata-kata dengan bahasa roh, tidak berkata-kata kepada manusia, tetapi kepada Allah. Sebab tidak ada seorangpun yang mengerti bahasanya; oleh Roh ia mengucapkan hal-hal yang rahasia (1 Kor 14:2).
