Jumaat, 5 Disember 2014

Laporan RCI dan Pertambahan Penduduk Mendadak Di Sabah Dari 1960-2000

Carta-carta populasi Sabah (The Star, 5 Disember 2014)
Berikutan pengumuman rasmi laporan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) mengenai Penduduk Asing Tanpa Izin di Sabah dua hari lepas, media internet dan akhbar telah memberi liputan meluas kepada laporan tersebut. Pada pagi ini, akhbar The Star telah menerbitkan tiga carta mengenai populasi Sabah dari 1960 hingga 2000.

Marilah kita lihat bersama tiga carta tersebut mengenai pertambahan populasi Sabah yang menjadi isu hangat negara:


Carta Populasi Sabah 1960-2000  (dari carta The Star, 5 Disember 2014)

Carta Populasi Sabah 1960-2000 di atas menunjukkan pertambahan penduduk KDM (Kadazan, Dusun, Murut) dan Bumiputera Islam di Sabah. Data untuk tahun 1980 hanya menunjukkan jumlah gabungan seramai 831,141 kerana laporan banci pada tahun itu difahamkan hanya memberikan data keseluruhan sebagai "Pribumi".  

Pada tahun 1991, data menunjukkan pertambahan penduduk Bumiputera Islam yang sudah meningkat secara mendadak (berjumlah 606,253 orang) berbanding KDM (397,287 orang). Begitu juga data tahun 2000 memperlihatkan jurang yang besar di antara Bumiputera Islam dan KDM. 


Carta Pertambahan Populasi di Sabah dan Sarawak 1970-2000 (The Star, 5 Dis 2014)

Carta ini menunjukkan kadar pertambahan penduduk yang mendadak di Sabah sebanyak 301% dalam tiga dekad dari 1970 ke 2000, berbanding 106% di Sarawak untuk tempoh yang sama. Ini telah membangkitkan kebimbangan besar saksi-saksi yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI).

"Ianya sangat jelas bahawa pertambahan terbesar ialah pada 1991, apabila statistik menunjukkan pertambahan 78%," kata RCI dalam laporannya.


Carta Taburan Penduduk Asing di Malaysia Tahun 2000
(diterjemah ke BM dari carta The Star, 5 Dis 2014)

Carta terakhir ini menunjukkan taburan penduduk asing di Malaysia untuk tahun 2000. Taburan tertinggi penduduk asing berada di Sabah iaitu 618,824 orang yang merupakan 23.6% populasi Sabah. Angka itu juga bererti bahawa secara keseluruhan 44.4% (atau hampir separuh) daripada penduduk asing di Malaysia tinggal di Sabah. 

Selepas Laporan RCI dikeluarkan, apakah tindakan selepas ini?

[Nota: Banci terbaru 2010 menunjukkan jumlah penduduk asing sudah bertambah ke 889,779 orang di Sabah, dan merupakan 27.8% penduduk Sabah]