Khamis, 11 Disember 2014

Penganut Kristian Marah Bible Dicap Dengan Kata-Kata Amaran



Pemimpin Kristian marah dengan tindakan pihak berkuasa agama Islam kerana 'mencemar' Bible yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Petaling Jaya awal tahun ini dengan kata-kata amaran yang dicap pada naskhah tersebut sebelum ia dipulangkan kepada penganut Kristian.

Cap yang mengandungi peringatan yang ia tidak boleh diterbit atau digunakan di Selangor itu, hanya dikesan selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerahkannya kepada Persatuan Gereja Sarawak (ACS) dalam satu majlis yang disaksikan Sultan Selangor pada 14 November.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan kepada The Malaysian Insider PBM akan mengeluarkan kenyataan membantah tindakan mengecap amaran di atas Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban itu dan melahirkan kekesalan yang amat sangat kerana menganggap ia satu "kejadian yang berulang."

Pada Mac 2011, 5,000 naskhah Alkitab dicop dan diberikan nombor siri oleh Kementerian Dalam Negeri yang sebelum itu menyimpan barangan bernilai RM70,000 itu selama 2 tahun selepas merampasnya di Pelabuhan Kuching pada 20 Mac, 2009.

Menyatakan kehairanan atas tindakan meletakkan nombor siri pada Bible itu, PBM kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang Bible itu tidak lagi boleh dijual tetapi sebaliknya akan dikekalkan "sebagai warisan" rakyat Malaysia beragama Kristian.

Sumber itu tidak mahu namanya disiarkan sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan BSM yang bertanggungjawab mengendalikan pengimportan dan pengedaran Bible dalam bahasa Melayu di seluruh Malaysia.

Seorang daripada mereka mengesahkan, sekeping gambar yang sedang dikongsi di Facebook ialah setem getah yang menyatakan amaran tersebut dalam tulisan berwarna merah.

Ia berbunyi: "Penggunaan terhad kepada orang bukan Islam sahaja dan tidak boleh diterbitkan atau digunakan di mana-mana bahagian di dalam negeri Selangor selaras dengan Seksyen 9 (1) Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988."

Salah seorang sumber berkata, pertubuhan Kristian peringkat kebangsaan itu tidak tahu tentang cap itu sehingga selepas ia dipulangkan.

Ketika dihubungi, Presiden BSM Bishop Datuk Ng Moon Hing berkata, beliau mahu menunggu kenyataan rasmi sebelum mengulas mengenainya.

Pada 14 November, 351 Bible itu diserahkan kepada pengerusi ACS Rev Archbishop Datuk Bolly Lapok, disaksikan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali. 

Majlis itu berikutan arahan Sultan supaya ia diserahkan kembali kepada ACS dengan syarat ia tidak boleh diedarkan di Selangor, terutamanya di kalangan orang Islam, dan ia hanya untuk kegunaan penganut Kristian di Sarawak.

Salah seorang sumber berkata, PBM tanpa menyedari perkara itu mengeluarkan kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Sultan kerana akhirnya Bible itu dipulangkan kepada mereka memandangkan pentadbiran negeri sebelum itu tidak melakukannya walaupun peguam negara mengatakan tiada kes terhadap mereka. – 7 Disember, 2014.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Penganut Kristian Marah Bible Dicap Dengan Kata-Kata Amaran" penulisan Deborah Loh bertarikh 7 Disember 2014)